Isu kualiti bekalan air Kelantan bakal bernoktah?

Iklan
Penduduk Kampung Limbat mengambil keputusan menggali telaga tiub berikutan ketiadaan bekalan air bersih daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sejak beberapa bulan lepas. - Foto Bernama

IKRAR Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan isu kualiti bekalan air Kelantan diatasi dengan melaksanakan projek bekalan air yang lengkap, dijangka terus menjadi tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung.

Anwar ketika ucapan perasmian di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan pada Jumaat, menegaskan pihaknya akan mencari dana demi merealisasikan perkara itu segera.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, projek berkenaan hanya boleh dipercepatkan sekiranya Kerajaan Persekutuan mendapat kerjasama kerajaan negeri.

"Saya sudah mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Iklan

"Hasil perbincangan itu telah dipersembahkan ke bawah Duli Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V," katanya.

Pengumuman tersebut tentunya menjadi perkara yang ditunggu-tunggu oleh warga Kelantan, termasuk pihak pembangkang yang mahu menilai sama ada ada ikrar tersebut dapat dilaksanakan atau sekadar gula-gula PRN.

Iklan

Setelah berpuluh tahun rakyat Kelantan berdepan isu kualiti air, pasti menjadi harapan besar agar isu tersebut diselesaikan tanpa memikirkan kepentingan politik tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Dalam perkembangan lain, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah mengesahkan semua empangan di negeri itu berada pada paras selamat untuk kegunaan semasa tempoh musim panas dan kering pada Jun depan.

Situasi paras semasa semua empangan pada Khamis berada dalam keadaan yang memuaskan iaitu simpanan takungan melebihi 90 peratus, dan empat daripada sembilan empangan termasuk Kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (ORS) juga berkapasiti penuh.

Berhubung perkembangan ekonomi, pada Jumaat juga bank pusat mengumumkan Malaysia merekodkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2023 yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus, disokong oleh permintaan domestik, pertumbuhan kukuh pasaran buruh dan peningkatan berterusan gaji yang menyokong perbelanjaan penggunaan.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, seluruh ekonomi tidak lagi berada dalam krisis, malahan, ia terus mencatatkan pertumbuhan

Pertumbuhan ekonomi negara pada 2023 akan terus disokong oleh pengembangan selanjutnya perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelaburan yang berterusan, pasaran buruh yang bertambah baik dan aktiviti pelancongan yang rancak.

Sementara itu, dua akta dijangka dibentangkan tahun ini masing-masing adalah Akta Imuniti bagi melindungi negara daripada pelbagai tuntutan asing dan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA) bagi membolehkan Malaysia mengawal selia kecekapan dan pemuliharaan tenaga.