BENTONG - Seorang pengawal keselamatan sanggup membuat laporan polis palsu pada Rabu mengenai kehilangan motosikalnya untuk membuat tuntutan insurans.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki warga tempatan berusia 33 tahun itu membuat laporan polis kira-kira jam 10.30 malam mendakwa motosikal miliknya telah hilang di Genting Permai, Genting Highlands.
"Hasil rakaman percakapan mengikut mangsa, motosikal miliknya telah hilang apabila diletakkan di belakang premis kedai di Genting Permai.
"Namun pihak polis mendapati terdapat keraguan terhadap keterangan yang diberikan dan membuat siasatan menerusi CCTV (kamera litar tertutup) di kawasan premis tersebut
"Hasil siasatan mendapati kejadian motosikal hilang tidak berlaku dan suspek mereka-reka cerita disebabkan motosikalnya telah rosak serta mempunyai tunggakan bayaran bulanan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujar beliau, tujuan suspek membuat laporan polis kerana hendak membuat tuntutan insurans.
"Susulan daripada kejadian itu, pihak polis telah membuat laporan polis ke atas suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.
"Sekiranya didapati bersalah, hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali," tambah Zaiham.
Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu dan tindakan berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukannya.