Masakan terakhir untuk rakan sepasukan sebelum maut nahas

Iklan
Allahyarham Mohd Haziq.

KUALA PENYU - Seorang anggota bomba maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor kerbau dalam kejadian di Kampung Purun di sini pada malam Jumaat.

Mohd Haziq Abdul Jalil, 32, yang dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Penyu pada jam 10.40 malam.

Iklan
Iklan

Ketua Balai BBP Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, anggotanya itu baru saja selesai menamatkan tugasnya mengikut syif pada jam 8 malam.

"Arwah terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dan ditemui oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas jalan raya sebelum dihantar ke Hospital Kuala Penyu oleh pihak ambulans.

Iklan

"Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya lagi, Allahyarham Mohd Haziq merupakan salah seorang anggota terbaik dan tidak pernah menolak sebarang arahan yang diberikan.

Iklan

"Bagi kami, ini merupakan kehilangan terbesar kepada BBP Kimanis kerana arwah merupakan pegawai yang berdisiplin serta mempunyai komitment yang tinggi terhadap tugasan.

"Hubungannya bersama rakan sepasukan juga sangat rapat dan sering membawa ikan serta memasak untuk rakan setugasnya ketika di balai," katanya.

Sementara itu, rakan baik Allahyarham, Saflan Sapri, 41, tidak menyangka ikan goreng yang dimasak arwah merupakan hidangan terakhir mereka bersama pada petang Jumaat.

"Tengah hari semalam dia sempat lagi masak untuk kami dan kami makan bersama-sama kira-kira jam 3 petang selepas selesai operasi.

"Memandangkan semalam kami ada lima operasi termasuk kebakaran rumah dan lalang menyebabkan kami sedikit lewat menikmati makan tengah hari. Kami berbual seperti biasa sebelum tamat syif dan saya langsung tidak percaya dia meninggalkan kami selamanya," katanya yang sudah mengenali arwah selama lima tahun.

Difahamkan, Mohd Hazif meninggalkan seorang balu dan jenazahnya dijangka dikebumikan di Kampung Tidong sebelum Zohor.