Kerisauan kriket Malaysia ada asasnya - Hannah

Iklan
Hannah (tengah) melancarkan program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS): Renang di Swim Splash Acedemy, Taman Kepong pada Sabtu. - Foto Bernama

KEBIMBANGAN dan kerisauan yang diluahkan oleh Persatuan Kriket Malaysia (MCA) mengenai penggunaan atlet naturalisasi pada Sukan SEA Kemboja ada asasnya, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat perkara itu dengan lebih mendalam selepas temasya di Phnom Penh itu menutup tirai pada 17 Mei ini.

Iklan
Iklan

"Kita tunggu dulu selepas semua pertandingan, saya juga ada bincang dengan menteri sukan yang lain. MCA yakin mereka boleh menang emas, tetapi bila bertembung dengan pihak lawan yang menurunkan banyak atlet naturalisasi (mereka tidak dapat)," katanya selepas melancarkan Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS): Renang di Kepong, hari ini.

Hannah turut meminta semua supaya mendoakan agar sasaran 40 pingat emas Malaysia dapat dicapai dengan baki empat hari sebelum temasya berkenaan menutup tirai dengan rasminya.

Iklan

"Saya pun gementar .... Kita ada pingat yang disasarkan terlepas, manakala acara yang tidak disasarkan dapat pingat. Kita ada lagi sukan hoki, judo, taekwondo, sepak takraw, dancesport dan badminton yang masih berlangsung," katanya.

Setakat pagi Sabtu, Malaysia kekal di kedudukan ketujuh dengan kutipan 28 emas, 35 perak dan 61 gangsa, dengan sasaran yang ditetapkan ialah 40-37-64.

Iklan

Terdahulu, MCA menerusi kenyataan menyatakan kerisauan serta meminta Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan Jawatankuasa Olimpik yang terlibat supaya membuat penelitian mendalam ke atas penganjuran kriket dan audit ke atas kelayakan atlet yang beraksi pada temasya kali ini.

"Dalam kejohanan lelaki, Kemboja menurunkan 13 pemain asing daripada keseluruhan 15 pemain, yang didakwa Kemboja mereka warganegara secara naturalisasi. Walaupun hanya melihat beberapa pasport, kami dapati pasport berkenaan dikeluarkan pada 23 April 2023, perlawanan pertama berlangsung pada 29 April, manakala tarikh tutup untuk senarai pendek ialah 3 Mac.

"Perkara ini menimbulkan persoalan; bolehkah pindaan dibuat untuk seramai 13 pemain? Jika ya, apakah tujuan penyenaraian pendek? Adakah tindakan ini mengikut semangat Sukan SEA atau semangat kriket?” menurut MCA yang menyatakan bahawa perlu adanya tempoh 'cooling off' selama setahun sebelum pemain beraksi untuk negara baharu.

MCA turut mendakwa bahawa kedua-dua pasukan lelaki dan wanita negara menjadi sasaran gangguan pengarah teknikal kejohanan serta jadual perlawanan yang hanya dikeluarkan sehari sebelum pertandingan.

Malaysia yang menjadi pilihan untuk pingat emas, terpaksa berpuas hati dengan perak acara 50-over dan Twenty-20 (T-20) lelaki selepas tewas kepada Kemboja pada final, manakala pasukan 50-over wanita meraih gangsa. Malaysia sedang beraksi dalam acara Ten-10 (T-10) lelaki dan wanita.

Ketika kriket dipertandingkan buat kali pertama dan terakhir pada temasya dwitahunan itu pada edisi Kuala Lumpur 2017, Malaysia meraih emas 50-over lelaki, perak T-20 lelaki dan gangsa T-20 wanita.

Dalam pada itu, Hannah berkata, kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM400,000 bagi tahun ini untuk program KLAS: Renang menyasarkan penglibatan 720 kanak-kanak berumur antara 6-12 tahun daripada golongan B40, yang bertujuan mengurangkan kadar kematian akibat lemas.

"Mengikut statistik sebelum pandemik Covid-19, seramai 500 kanak-kanak meninggal dunia akibat lemas setahun, angka yang tinggi. Daripada bazirkan kolam renang yang ada dan tak guna duit rakyat untuk tujuan murni seperti ini, baik kita mulakan program ini," katanya.

Beliau berkata, sebagai permulaan, program itu akan diadakan di 18 daerah di lapan negeri tahun ini - Kuala Lumpur, Selangor, Sabah, Sarawak, Kelantan, Kedah, Johor dan Pahang - sebelum diluaskan ke tempat lain.

Berikutan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini, Hannah berkata beberapa langkah keselamatan seperti penggunaan fasiliti tertutup diambil demi keselamatan. - Bernama