Subjek Sains pertanian akan dikembalikan semula

Iklan
Salahuddin (tengah) menyerahkan peruntukan RM10,000 kepada Mohd Shaphri sewaktu pelancaran 'My Green Team' di SMK Dato Penggawa Barat di sini hari ini.

PONTIAN - Subjek sains pertanian akan dikembalikan semula di sekolah-sekolah bagi menarik minat golongan muda terlibat dalam bidang pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata Kementerian Pendidikan melalui menterinya, Dr Maszlee Malik turut bersetuju agar subjek tersebut dikembalikan di sekolah.

Iklan
Iklan

"Saya sudah berbincang dengan Dr Maszlee supaya dikembalikan subjek sains pertanian ini.

"Perkara ini juga sudah dibincangkan dalam kabinet dan dibawa ke pengetahuan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Iklan

"KSU Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membincangkan lebih lanjut tentang perkara ini yang telah dipersetujui secara dasar,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media Majlis Pelancaran"My Green Team” kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang dengan Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Dato Penggawa Barat, di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang ( LPP) Mazlan Aliman dan Pengetua, Mohd Shaphri Mohd Yusof.

Salahuddin berkata, bidang pertanian tidak boleh lagi dianggap mundur ke belakang kerana komitmen ditunjukkan negara maju jelas memperlihatkan pertanian mampu meningkatkan pendapatan petani.

"Rakyat mesti memiliki pengetahuan secukupnya sebagaimana petani di negara maju.

"Bidang pertanian boleh menyumbang kepada pendapatan negara menerusi pengeluaran makanan,” katanya.

Justeru beliau berharap agar subjek sains pertanian segera dikembalikan di sekolah-sekolah bermula di peringkat sekolah rendah.

Mengenai program ‘My Green Team” katanya, sebanyak 52 sekolah dari seluruh negara terpilih menerima peruntukkan secara"one-off” berjumlah RM5,000 sehingga RM10,000 bagi menambahbaik atau memperbesarkan projek berkenaan di sekolah.

Salahuddin berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui agensinya seperti Mardi, Fama, LPP dan sebagainya bersedia membantu sekolah terlibat meningkatkan projek"My Green Team”.

Pada majlis itu, peruntukkan sebanyak RM10,000 diserahkan kepada SMK Dato Penggawa Barat.