Malaysia, Korea Selatan perkukuh kerjasama bidang pertanian

Iklan
Mohamad menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea, Chung Hwang-Keun di Putrajaya pada Jumaat. - Foto Facebook Mohamad Sabu

PUTRAJAYA - Malaysia dan Korea Selatan akan memperkukuh kerjasama dan perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, kedua-dua negara turut bersetuju untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan memeterai Memorandum Persefahaman Kerjasama Pertanian selaras dengan sambutan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur tahun ini.

Iklan
Iklan

KPKM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan menerusi perjanjian tersebut, kedua-dua negara bersetuju untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman, amalan terbaik dan peluang perniagaan serta cadangan kerjasama dalam bidang keterjaminan makanan dan inovasi teknologi pertanian untuk menangani cabaran sektor pertanian.

Pada Jumaat, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea, Chung Hwang-Keun di Putrajaya, yang juga pertemuan pertama bagi kedua-dua pemimpin itu.

Iklan

Menurut KPKM, Republik Korea adalah rakan dagang Malaysia yang sentiasa bergiat aktif dalam memperkukuh hubungan perdagangan pertaniannya.

"Bagi tempoh 2020 hingga 2022, nilai dagangan pertanian antara kedua-dua negara menunjukkan pencapaian yang progresif dan positif iaitu mencatat peningkatan sebanyak RM1.0 bilion setiap tahun," menurut kenyataan itu.

Iklan

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin ini turut dihadiri ketua setiausaha KPKM dan pegawai kanan KPKM serta ketua pengarah dan wakil dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian. - Bernama