Star Cougars FC cari tajaan ke IberCup Estoril Portugal 2023

Iklan
STAR Cougars FC mencari penaja bagi membolehkan mereka beraksi pada pada kejohanan IberCup Estoril Portugal 2023 (Gambar kecil: Azmi, Mohd Firdaus)

PASUKAN bola sepak Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), STAR Cougars FC dipilih mewakili negara pada kejohanan IberCup Estoril Portugal 2023, Julai depan.

STAR Cougars FC merupakan satu-satunya pasukan yang dijemput untuk bertanding di kejohanan bola sepak remaja berprestij dunia yang berlangsung pada 2 hingga 12 Julai di Estoril, Lisbon, Portugal.

Iklan
Iklan

Pengetuanya, Azmi Jimat berkata, pemilihan itu merupakan satu pencapaian tertinggi untuk pasukannya beraksi di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, ia bukan perkara mudah bagi pihaknya membiayai penyertaan pasukan ke negara selatan Eropah yang membabitkan kos bernilai RM175,000 ke kejohanan itu.

Iklan

"Kita berhasrat agar pihak yang berkemampuan seperti sektor korporat dan kerajaan dapat memberi sumbangan agar dapat merealisasikan impian mereka bertanding di negara luar," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Ketua Jurulatih, Mohammad Hafizul Kamel memberi penerangan kepada STAR Cougars sebelum menjalani latihan di padang STAR di Ipoh.

Azmi berkata, STAR Cougars FC ingin menyahut cabaran itu untuk menambah pengalaman beraksi di peringkat lebih tinggi.

Iklan

"Sasaran kita agar pasukan dapat melayakkan diri ke pusingan seterusnya supaya dapat bersaing dengan pasukan Eropah, itu satu pencapaian hebat.

"Dengan latihan terperinci, bantuan sumbangan pihak lain, persiapan rapi yang dilakukan, kami berusaha untuk melakar kejayaan seperti mana pada Yakoma Cup U-17, Hanoi, Vietnam, tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Pengurus pasukan, Mohd Firdaus Ahmad berkata, penyertaan pasukan itu adalah contoh keseimbangan antara akademik dan sukan di sekolah berasrama penuh ini.

Tambahnya, dengan sokongan daripada semua pihak termasuk ibu bapa, ia dapat mengembangkan potensi dan jati diri pelajar.

"Di Eropah, sukan bola sepak berkembang dengan pesat jadi pengalaman di sana akan dikongsi bersama untuk dibangunkan di peringkat sekolah berasrama penuh menerusi kejohanan yang akan dianjurkan nanti.

STAR Cougars melakukan persiapan rapi untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

"Kita bukan sahaja menyasarkan kecemerlangan akademik tetapi boleh membangunkan sukan dalam kalangan pelajar. Mereka berpotensi cuma peluang dan ruang tidak mencukupi," katanya.