Sukan SEA: Malaysian Tigress hampiri kejayaan raih emas

Iklan
Pasukan hoki wanita negara mengesahkan tempat di final selepas menewaskan Thailand 3-0 di Stadium Nasional Morodok Techo pada Sabtu. - Foto Facebook MHC

PASUKAN hoki wanita kebangsaan berada di landasan tepat untuk merangkul pingat emas selepas mengesahkan tempat di final dengan kejayaan menewaskan Thailand 3-0 pada aksi ketiga saingan liga sepusingan temasya Sukan SEA 2023 di padang hoki Stadium Nasional Morodok Techo di sini pada Sabtu.

Pada aksi tersebut, tentangan hebat diberikan Thailand di awal permainan menyaksikan skuad Malaysian Tigress buntu memburu gol pada suku pertama sebelum akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin.

Iklan
Iklan

Jaringan itu ternyata mengubah permainan sekelip mata apabila Malaysia berjaya meledak gol kedua dan ketiga dalam tempoh tiga minit masing-masing menerusi gol padang Fatin Shafika Mohd Sukri pada minit ke-26 dan gol pukulan sudut penalti disempurnakan Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-29.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga masa penuh sekali gus memberikan kemenangan ketiga berturut-turut buat skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim dalam saingan liga sepusingan menjelang aksi terakhir bertemu Indonesia esok.

Iklan

Mohd Nasihin berkata, pasukannya menunjukkan komitmen yang tinggi berdepan Thailand apabila tidak menjadikan faktor bermain di bawah matahari terik dan bahang sebagai penghalang untuk beraksi dengan baik.

"Pemain-pemain bermain dengan mengikut perancangan yang diberikan kepada mereka, namun begitu, ada seketika mereka mula kurang tumpuan dan menyebabkan pasukan lawan datang menyerang.

Iklan

"Secara keseluruhan saya memuji usaha para pemain, namun saya menuntut lebih lagi daripada mereka. Walaupun kami telah layak ke final, kami akan tetap fokus pada perlawanan menentang Indonesia nanti, sama seperti sebelum ini dan kami tetap menghormati siapa sahaja lawan yang kami temui,” katanya.

Ketika ini hanya Malaysia yang sudah melayakkan diri ke final apabila mengumpul keseluruhan sembilan mata di kedudukan teratas selepas tiga perlawanan sementara Thailand kedua (enam mata) dan Indonesia ketiga selepas mengumpul dua mata.

Sementara itu, Singapura yang baru bermain dua perlawanan di kedudukan keempat dengan meraih satu mata manakala Kemboja di posisi tercorot selepas hanya mengutip satu mata daripada keseluruhan tiga perlawanan.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan yang menamatkan saingan liga sepusingan di kedudukan teratas layak ke final untuk membuat perhitungan merebut pingat emas.

Terdahulu, Malaysia turut menempah slot di final bagi saingan lelaki selepas membenam Thailand 5-0 pada aksi ketiga liga sepusingan di venue sama, pada sebelah pagi. - Bernama