ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta mendedahkan pelan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi masalah bekalan air di negeri ini.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, rakyat Kedah wajar diberikan penjelasan berhubung situasi terkini bekalan air sebagai persediaan berdepan musim panas.
Menurutnya, usah dijadikan perancangan jangka pendek dan panjang itu sekadar dokumen dalam mesyuarat atau hanya nota pembentangan.
Pada Rabu, Muhammad Sanusi menafikan krisis bekalan air di negeri itu mencecah hampir sejuta pengguna yang didakwa terjejas pada musim perayaan Aidilfitri. Beliau sebaliknya memaklumkan hanya 7,222 akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) atau 1.2 peratus terjejas berbanding 645,041 keseluruhan akaun di negeri itu.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy turut mempersoal penganugerahan projek menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini.
"Selama ini kita tak pertikai proses tender, cuma hairan kenapa sebuah syarikat diberi tanggungjawab menyiapkan tiga projek kritikal dalam satu masa?
"Adakah terdapat klausa peraturan kewangan yang membenarkan ia dilaksanakan? Menteri Besar sendiri mempengerusikan Lembaga Tender Negeri, beliau sepatutnya tahu dan bertanggungjawab. Sudah tanya lama tetapi beliau tidak jawab,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Muhammad Sanusi hanya memaklumkan kemajuan projek LRA Pelubang mengikut jadual, namun tidak memberi sebarang penjelasan berkaitan LRA Bukit Selambau dan Sungai Limau yang dikatakan terlewat daripada jadual asal.
"Sebagai Menteri Besar dan Ketua Eksekutif sesebuah kerajaan beliau boleh sarankan atau beri tekanan kepada mana-mana agensi berkaitan untuk percepatkan dan memastikan projek tersebut berada di tahap terbaik dan mengikut jadual.
"Selaku Pengerusi SADA, sudah tentu bukan tanggungjawab tidak boleh dijadikan alasan. Jaminan kesemua loji akan siap pada tahun ini juga bukti beliau sendiri terlibat dalam sebahagian besar proses pembinaan LRA,” jelasnya.
Susulan itu, Shaiful Hazizy menasihatkan Muhammad Sanusi agar jangan mudah memberi gelaran kepada mana-mana pihak sebagai ‘bodoh’ atau dengan gelaran tertentu sekiranya tindakan beliau dikritik.