BANGKOK - Parti politik di Thailand membuat pecutan terakhir untuk memancing undi menjelang Pilihan Raya Umum yang dijangka sengit pada Ahad.
Penyokong puak pembangkang, Parti Pheu Thai dan pesaingnya, Move Forward (MPF) diramalkan membawa kekalahan besar kepada kerajaan pimpinan bekas ketua tentera, Prayut Chan-o-cha yang memegang kuasa selama hampir sedekad.
Sebagai usaha menawan hati rakyat, pemimpin pembangkang turut berarak dengan menaiki jip di jalan utama sekitar Bangkok pada Sabtu dan menggesa orang ramai supaya menunaikan tanggungjawab mereka untuk membawa perubahan kepada negara itu sebelum tempoh berkempen tamat pada jam 6 petang (waktu tempatan).
Terdapat kebimbangan junta masih mahu mengekalkan kuasa walaupun ketua tentera memberi jaminan mereka tidak akan campur tangan pada pemilihan kali ini.
Calon utama perdana menteri mewakili Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra yang baharu melahirkan anak kedua pada awal bulan lalu turut menyertai kempen tersebut sambil melambaikan tangan kepada penyokongnya.
"Saya berharap rakyat Thailand akan mengundi kami untuk menyelesaikan masalah mereka. Saya sangat teruja walaupun agak letih kerana tidak cukup rehat," ujarnya dengan bersemangat walaupun terpaksa menghadapi cuaca panas terik.
Keputusan kaji selidik menunjukkan Pheu Thai kini mendahului dan dijangka sekali lagi menang besar pada pemilihan tersebut, namun laluan parti tersebut untuk kembali memegang kuasa dan memegang jawatan perdana menteri mungkin berdepan halangan daripada Senat yang dilantik tentera di bawah Perlembagaan 2017.
Sebelum ini, Thaksin Shinawatra pernah digulingkan menerusi rampasan kuasa 2006 manakala Yingluck yang merupakan ibu saudara Paetongtarn juga menerima nasib sama pada 2014.
Kempen pada hari terakhir itu turut disertai pemimpin MFP, Pita Limjaroenrat yang berarak dengan menaiki trak sambil berkempen dengan pelaung suara.
"Ayuh beri peluang kepada generasi muda untuk memimpin negara. Kami akan menjaga generasi lebih tua," katanya.
Sementara itu, Prayut, 69, yang cuba mengekalkan kuasanya telah melabel dirinya sebagai satu-satunya calon yang mampu menyelamatkan Thailand daripada huru-hara dan kehancuran.
Sebuah lagi parti yang mendapat perhatian di bawah kem konservatif ialah Parti Palang Pracharath (PPRP) yang dipimpin Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan yang pernah menjadi arkitek kudeta dan sekutu rapat kepada Prayut.
Prawit, 77, dilihat berpotensi menjadi 'kingmaker' walaupun beliau seorang yang low profile dan enggan membuat sebarang ramalan keputusan pilihan raya.
Pilihan Raya Umum tersebut berlangsung selepas siri protes mega prodemokrasi melanda ibu kota Bangkok pada 2020 yang menggesa pengunduran segera Prayut dan menuntut reformasi monarki. - AFP
Info
>Kira-kira 52 juta individu layak mengundi termasuk 3.3 juta yang berusia 18 hingga 22 tahun yang boleh menunaikan tanggungjawab mereka buat pertama kali. Sebanyak 95,000 pusat mengundi disediakan di seluruh negara.
>Perdana menteri akan dipilih oleh 500 ahli Parlimen dan 250 anggota Senat yang dilantik junta.
>Pada 2019, Prayut menuntut sokongan Senat untuk menjadi perdana menteri.