KUALA NERUS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan audit sepanjang proses agihan Bakul Rahmah fasa satu, bagi memastikan bantuan itu sampai kepada setiap golongan sasar.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan mengemas kini data supaya lebih tepat pada masa akan datang menggunakan mekanisme yang bersesuaian.
"Untuk pastikan (Bakul Rahmah) sampai ke sasaran kita gunakan mekanisme yang ada, kita ada eKasih, ada juga data Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ada juga data KPDN sendiri.
"Selain itu kita juga akan guna pakai senarai yang dikemukakan wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, mereka lebih tahu (golongan sasar)," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan ‘lori Rahmah’ peringkat negeri Terengganu di Driving Range Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini pada Sabtu.
Sebanyak 1,600 Bakul Rahmah yang setiap satunya bernilai RM100 disasarkan untuk golongan miskin tegar diedarkan hari ini.
Salahuddin berkata, agihan fasa satu Bakul Rahmah dijangka selesai menjelang Jun yang melibatkan 130,000 isi rumah miskin tegar di seluruh negara."Bagi fasa kedua, ketiga dan seterusnya kita akan adakan libat urus dengan pihak industri yang akan terus menyumbang dan saya yakin dan percaya program ini akan terus memanfaatkan rakyat," katanya.
Katanya bersesuaian dengan tema program iaitu 'Rahmah for All', kerajaan tidak memandang latar belakang politik penerima termasuk rakyat di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang berada di bawah pentadbiran pembangkang. - Bernama.