Hilang fokus, Luqman Haqim terkilan gagal raih emas

Iklan
Atlet taekwondo negara, Muhammad Luqman Haqim

PHNOM PENH - Atlet taekwondo negara, Muhammad Luqman Haqim Mohd Suhaimi, hampa tidak dapat melunaskan misi membawa pulang emas pada Sukan SEA 2023 selepas tumbang di tangan wakil Filipina, Samuel Thomas Harper, bagi saingan separuh akhir kyorugi lelaki bawah 87 kilogram (kg) di sini pada Sabtu.

Selepas bermula baik dengan menang pusingan pertama, 10-7, Muhammad Luqman seolah-olah hilang arah sehingga gagal mengekang kebangkitan Samuel yang melancarkan beberapa siri tumbukan dan tendangan yang tepat ke arah dadanya, sekali gus menyaksikannya berputih mata apabila kecundang, 6-9 dan 1-4 pada dua pusingan terakhir di Dewan F, Pusat Konvensyen Chroy Changvar, di sini.

Iklan
Iklan

Atlet berusia 22 tahun itu mengakui keghairahannya mengejar mata membawa padah sehingga dirinya hilang konsentrasi dan seterusnya menyaksikan impian merangkul emas sulung pada temasya sukan dwitahunan tersebut berkecai.

Keputusan hari ini menyaksikan Muhammad Luqman berkongsi gangsa dengan Phou Soucheng apabila wakil tuan rumah tumpas kepada peserta Indonesia, Nicholas Armanto dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Iklan

"Pusingan pertama sudah berhabis-habisan, dah buat terbaik kemudian pusingan kedua saya terlalu kejar mata nak menang, masuk pusingan ketiga saya terus kekaburan dan Samuel bangkit.

"Saya akui terlalu selesa ketika mendahului (pusingan pertama) jadi lawan dapat bangkit... terkilan tak dapat ke final, sasaran di sini nak dapat emas namun tiada rezeki, saya harap dapat buat terbaik pada Sukan SEA seterusnya” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Ini merupakan gangsa kedua Sukan SEA buat Muhammad Luqman selepas meraihnya buat kali pertama pada edisi 2019 di Manila, Filipina.

Iklan

Sementara itu, seorang lagi atlet taekwondo negara, Sebastian Tan Chung Wan turut menerima nasib serupa selepas tunduk 0-2 kepada Ramnarong Sawekwihareie dari Thailand dalam aksi separuh akhir kyorugi lelaki bawah 54kg.

Sebastian berkongsi gangsa dengan Keston Ghim Weng Pang apabila wakil Singapura itu kalah kepada Kurt Bryan Dela Vega Barbosa dari Filipina dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Semalam kem taekwondo negara bermula cemerlang dengan mengutip dua emas acara poomsae menerusi Nur Humaira Abdul Karim yang mencipta kejutan mengungguli saingan individu wanita dan kejayaannya diteruskan kakaknya, Nurul Hidayah yang bergandingan dengan Jason Loo bagi kategori berpasangan campuran. - Bernama.