'Ada ibu bapa tunggu depan pintu harap anak ambil'

Iklan
Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua Islam Titian Abadi (PEKITA) di Lahat, Ipoh anjur majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bagi meraikan penghuninya dan juga waris. - Foto Awani

IPOH - Syawal masih berbaki beberapa hari sahaja lagi dan di kesempatan itu ramai yang tidak melepaskan peluang meneruskan tradisi majlis rumah terbuka hari raya.

Tidak terkecuali Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua Islam Titian Abadi (Pekita) di Lahat, di sini yang turut menganjurkan rumah terbuka bagi meraikan penghuninya dan juga waris terbabit.

Iklan
Iklan

Sambutan 1 Syawal tahun ini bagi 22 orang warga emas yang menghuni di rumah terbabit bagaikan tiada makna kerana difahamkan rata-rata daripada mereka tidak pulang beraya dengan keluarga atau anak-anak.

Menurut Pengerusi Pekita, Ahmad Wanchik, walaupun beliau faham dengan kekangan yang dihadapi pihak waris atau keluarga, namun, situasi itu sedikit sebanyak mengundang sebak kepadanya.

Iklan

"Raya tahun ini boleh dikatakan ramai penghuni yang tidak balik bersama-sama keluarga untuk menyambutnya. Disebabkan masalah tertentu, hal keluarga dan sebagainya.

"Seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, kita memang ada hubungi semua waris yang ada dan tanya bagaimana dengan ibu bapa, hendak bawa pulang atau tidak.

Iklan

"Ada yang sibuk dan sebagainya, maka berhari rayalah penghuni di sini bersama kami, keadaan amat menyedihkan kerana ada di antara ibu bapa menunggu di pintu dan berharap anak-anak datang ambil tapi tidak kesampaian," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Bertitik tolak daripada itu, menurut Ahmad, sambutan rumah terbuka itu dianjurkan bagi menceriakan para penghuninya, sekali gus memberikan peluang kepada orang ramai untuk beramah mesra bersama mereka.

"Setelah dua tahun tiada jamuan hari raya susulan Covid-19, jadi Alhamdulillah tahun ini dapat diadakan.

"Sebenarnya menghantar ibu bapa atau ahli keluarga di rumah kebajikan bukanlah menjadi satu kesalahan, tidak... kami boleh uruskan. Tetapi bila sudah hantar, janganlah sampai tidak jenguk berbulan-bulan dan abaikan.

"Bukanlah semua begitu (abaikan) tetapi ada dalam kalangan waris yang begitu," katanya yang sudah menguruskan Pekita selama 12 tahun dengan dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagi salah seorang penghuni wanita yang berusia 62 tahun, yang hanya dikenali sebagai Makcik, beliau baru sahaja menghuni rumah tersebut tahun lalu dan tidak pulang beraya tahun ini.

"Hari raya lalu kakak saya dan anak saudara datang ke sini menziarah, perasaan saya biasa saja sambut raya. Saya dihantar ke sini oleh anak saudara sebab sudah tiada siapa, saya ikut sajalah" katanya yang tidak pernah berumah tangga.

Berbeza bagi Pakndak, 68, yang sudah tujuh tahun menetap di sini, beliau berasa seronok dengan kehadiran rakan lain serta menikmati aktiviti seharian.

"Semua okey, saya seronok duduk sini ramai kawan. Kadang-kadang kasihan juga lihat penghuni lain yang tak boleh uruskan diri sendiri, saya bantu mereka apa yang patut.

"Ramai anak saudara yang jenguk dan uruskan saya, tiada masalah. Nak kata sedih, tidak juga sebab mereka ada datang melawat dan bawa saya ke rumah adik beradik lain," katanya.

Sementara itu,bagi salah seorang waris penghuni yang dikenali sebagai Khalid, 71, beliau sering menziarah salah seorang abang kembarnya yang dikenali sebagai Pakcik Zin, berusia 73 tahun di sini.

"Abang kembar saya, seorang daripadanya tinggal di sini sejak tahun 2020 sebab lebih mudah ada orang jaga, dia merupakan orang kelainan upaya (OKU) mental.

"Bagaimanapun, saya dan seorang lagi kembarnya sering menguruskan perihal kesihatan dan hantar dia ke klinik jika perlu, tiada istilah mengabaikan dan sebagainya," katanya yang hadir memeriahkan sambutan majlis tersebut. - Awani