Ibu nyaris dikelar anak sendiri

Iklan
Mangsa menunjukkan lokasi ketika anaknya menyerang dan cuba mengelar lehernya dengan sabit kecil. - Foto Ihsan PDRM (Gambar kecil: Sabit kecil yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.)

KUALA NERANG - [DIKEMASKINI] Seorang ibu hampir dikelar di bahagian leher oleh anak lelakinya dengan sebilah sabit kecil di rumahnya di Kampung Tanjung Piring, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, dalam kejadian jam 8 malam itu, suspek, 35 tahun dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dengan tiba-tiba datang ke arah mangsa, 70 tahun dan menolaknya sehingga jatuh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek telah cuba mengelar leher mangsa dengan sabit kecil namun mangsa berjaya menepis tangan suspek dan berlakunya pergelutan.

"Akibatnya lutut kanan mangsa telah cedera dan mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Iklan

Noh berkata, suspek yang sebelum ini mempunyai dua rekod jenayah lampau dipercayai bertindak atas pengaruh dadah dan mahu mendapatkan wang dari ibunya untuk membeli bekalan dadah.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari mangsa, satu pasukan dari IPD Kuala Nerang telah berjaya menahan suspek di sebuah rumah di kampung yang sama pada pukul 11.15 malam.

Iklan

"Polis merampas sebilah sabit sepanjang 43 sentimeter dan suspek ditahan di lokap Balai Polis Kuala Nerang," katanya.

Katanya, suspek direman sehingga 5 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.