PARIS Saint-Germain (PSG) semakin hampir untuk merangkul gelaran ke-11 Liga Perancis selepas menewaskan Ajaccio 5-0 ketika kepulangan pemain sensasi, Lionel Messi dikecam peminat.
PSG memerlukan empat mata daripada tiga aksi terakhir – menentang Auxerre, Strasbourg dan Clermont – untuk memastikan kejuaraan Ligue 1 selepas melebarkan kelebihan enam mata ke atas Lens di tempat kedua.
"Pemain berazam mempamerkan persembahan terbaik. Mereka mahu menjadi juara dan sedar bahawa Lens tidak berputus asa. Tersilap langkah boleh meningkatkan tekanan.
"Kemenangan ini amat melegakan para pemain," ujar jurulatih PSG Christophe Galtier.
Pada aksi itu, Fabian Ruiz membuka jaringan pada minit ke-22 di Parc des Princes dan Achraf Hakimi menyumbat gol kedua 11 minit kemudian.
Penyerang sensasi, Kylian Mbappe menjaringkan dua gol sejurus selepas separuh masa.
Malang turut menimpa Hakimi dan pemain tengah Ajaccio, Thomas Mangani dilayangkan kad merah lewat perlawanan.
Dalam pada itu, sebelum sepak mula ketika pengumuman nama Messi mengundang tepukan serta cemuhan daripada penyokong, susulan penggantungannya kerana membuat lawatan ke Arab Saudi tanpa kebenaran kelab.
Kapten Argentina itu sekali lagi dicemuh selepas mendapat bola pada perlawanan yang mungkin menjadi penampilan kedua terakhirnya di Paris.
Pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu dilaporkan bakal menyertai Cristiano Ronaldo di Liga Pro Saudi.