BANGKOK - Rakyat Thailand mula mengundi hari ini (Ahad) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang menyaksikan pertempuran sengit dan dijangka boleh mencetuskan pertukaran kerajaan buat kali pertama dalam tempoh hampir sedekad.
Kira-kira 52 juta pengundi, termasuk 3.3 juta pengundi kali pertama berumur 18 hingga 22 tahun, mengundi di 94,775 pusat mengundi di seluruh negara.
Rakyat mula beratur seawal pagi sebelum pusat mengundi dibuka pukul 8 pagi (waktu tempatan) selepas kempen selama berbulan-bulan berakhir. Pengundian ditutup 5 petang pada hari yang sama.
Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha, calon perdana menteri di bawah tiket parti United Thai Nation (UTN) antara yang paling awal mengundi di pusat mengundi di Bangkok, kira-kira 9.10 pagi (waktu tempatan).
"Saya gembira dapat menunaikan hak saya. Saya harap pengundi yang layak akan keluar mengundi hari ini,” katanya kepada pemberita selepas mengundi.
Prayuth, 69, dilihat berdepan cabaran getir untuk mempertahankan kedudukan, memandangkan parti pembangkang termasuk Parti Pheu Thai dan Parti Move Forward kini menjadi pilihan, berdasarkan tinjauan pendapat.
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, termasuk pilihan raya yang menjadi pertikaian hangat pada 2019, bantahan besar-besaran pada 2020 dan empat undi tidak percaya di parlimen, Prayuth - yang berkuasa dalam rampasan kuasa 2014 - tetap berjaya mengekalkan jawatannya.
Terdapat 400 kerusi untuk calon kawasan pilihan raya dan 100 kerusi parti diperuntukkan secara perwakilan berkadar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand menjangkakan 80 peratus daripada kira-kira 52 juta pengundi yang layak mengundi hari ini.
SPR menjangkakan untuk mengeluarkan 95 peratus keputusan tidak rasmi menjelang 11 malam.
Pilihan raya kali ini adalah yang pertama diadakan sejak protes besar-besaran yang diketuai oleh belia pada 2020 dan yang kedua sejak rampasan kuasa tentera pada 2014, menyaksikan penyingkiran kerajaan yang dipilih. - Bernama