MELAKA - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti secara komprehensif cadangan penyusunan semula Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kata Menterinya Nga Kor Ming.
Beliau berkata, penyusunan semula itu akan dilakukan secara berfasa melibatkan naik taraf perjawatan dan pengisian perjawatan sedia ada yang masih kosong serta mempertimbang untuk menambah jumlah keanggotaan JBPM.
Katanya, penyusunan semula itu dilakukan berikutan ketidakseimbangan membabitkan nisbah keanggotaan iaitu lebih 15,000 anggota berbanding 33.57 juta populasi rakyat Malaysia ataupun satu bagi 2,238 rakyat Malaysia, selain jabatan itu menerima lebih 100,000 panggilan kecemasan setiap tahun.
"Ini termasuklah elemen kebajikan seperti kajian semula skim bomba termasuk gaji dan elaun yang berkaitan. Saya yakin JBPM dan Bahagian Sumber Manusia KPKT sedang meneliti kertas cadangan ini sebelum kita angkat kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertimbangan dan kelulusan.
"Sebagai sebuah organisasi penyelamatan dan kecemasan utama negara, jabatan ini sentiasa bersedia dalam menangani sebarang situasi kecemasan baik kebakaran, kemalangan, khidmat khas mahupun sebarang bentuk bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2023 yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Dataran Pahlawan di sini pada Ahad.
Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklm dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Sementara itu Kor Ming berkata, Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM206.64 juta menerusi Belanjawan 2023 bagi memperkasa perkhidmatan bomba merangkumi RM46.51 juta bagi perolehan peralatan dan kelengkapan untuk meningkatkan kecekapan dan tahap kesiapsiagaan JBPM, meningkat hampir lima kali ganda berbanding tahun 2022.
"Sukacita saya nyatakan RM18.2 juta peruntukan baharu telah diluluskan untuk perolehan kelengkapan kebombaan dan 12 ekor anjing pengesan.
"(Selain itu) RM129.93 juta bagi pembinaan bangunan JBPM baharu di seluruh Malaysia dan menaik taraf bilik siap siaga di balai bomba sedia ada termasuk penyelenggaraan bangunan dan jentera bomba,” katanya.
Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia setiap 4 Mei di seluruh dunia merupakan satu acara penuh simbolik bagi memperingati dan menghargai pengorbanan serta jasa bakti yang diberikan anggota bomba di seluruh dunia.
Sebanyak 30 kontinjen dan 54 unit jentera membabitkan 1,330 peserta menjayakan sambutan dan perarakan hari ini. - Bernama