[VIDEO] 'Nampak gaya tak berkesan', NGO rancang himpun di Parlimen

Iklan
Ibrahim (kemeja biru, tengah) bersama nelayan yang menyertai Perhimpunan Aman Bantahan Terhadap Projek PSI di Sungai Batu, Teluk Kumbar pada Sabtu.

GEORGETOWN - Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara) akan terus membantah projek Selatan Pulau Pinang (PSI) sehingga ia dibatalkan sepenuhnya.

Pengerusinya, Ibrahim Che Rose berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada sidang akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, memorandum tersebut adalah kedua selepas memorandum pertama diserahkan di Parlimen pada 2019 lalu.

"Kita tetap akan bantah walaupun kerajaan negeri menyatakan hanya satu pulau akan dibina dalam projek PSI ini. Kami tidak mahu projek ini diteruskan, bukan tiga bukan satu (pulau). Batalkan terus.

Iklan

"Walaupun kami baru serah surat kepada Anwar pada minggu lalu, nampak gayanya ia tidak berkesan. Sehubungan itu, kami akan adakan perhimpunan aman di Parlimen selain menyerahkan memorandum bantahan kepada Anwar berhubung projek ini.

"Kami tidak akan berhenti membantah selagi projek ini tidak dibatalkan terus. Kami bukan mahu projek ini dikecilkan skopnya tetapi dibatalkan. Ini kerana, walaupun sebuah pulau sahaja, impaknya ke atas alam sekitar sama sahaja," katanya selepas Perhimpunan Aman Bantahan Terhadap Projek PSI di Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini pada Sabtu.

Iklan

Menerusi perhimpunan tersebut, seramai 4,000 komuniti nelayan dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir bagi menyatakan sokongan mereka terhadap bantahan tersebut.

Selain penduduk setempat dan Pen Mutiara, antara NGO lain yang hadir ialah Penang Forum, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Turut kelihatan beberapa pemimpin parti-parti politik daripada Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, Pen Mutiara juga berhasrat untuk menyerahkan memorandum bantahan projek ini kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk diperhalusi.

"Memang ada rancangan untuk menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Seri Paduka Baginda tahu apa yang berlaku sekiranya projek tambakan laut ini diteruskan," katanya.

Ibrahim turut mencabar Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk turun ke laut bersamanya pada tarikh-tarikh tertentu bagi menunjukkan hasil laut yang berjaya ditangkap di kawasan rancangan projek berkenaan.

"Kami tidak pernah berpeluang untuk bertemu sendiri dengan Ketua Menteri. Kerajaan negeri selalu berkata bahawa kawasan yang dirancang ini tidak mempunyai sumber hasil laut yang banyak. Oleh itu, saya cabar Ketua Menteri untuk turun ke laut bersama saya.

"Lagi elok jika turun ke laut pada tarikh-tarikh yang tertentu, tengok sendiri berapa banyak hasil laut dapat ditangkap. Jangan hanya membuat keputusan daripada hasil kajian kerana semua itu berbayar," katanya.

Sebelum ini, satu surat bantahan terhadap projek PSI telah diserahkan kepada Anwar oleh Pen Mutiara melalui Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim dalam satu perjumpaan di Restoran Pen Mutiara, Batu Maung di sini.

Selain menyerahkan surat bantahan, Pen Mutiara juga menyatakan alasan-alasan bantahan mereka kepada wakil Perdana Menteri itu untuk dibentangkan kepada Anwar.

Antara kandungan surat bantahan itu adalah kesan kepada kawasan penangkapan ikan di kawasan teluk yang merupakan santuari dan cukup sesuai untuk ikan.

Selain itu, projek PSI juga akan menyebabkan nelayan akan kehilangan kawasan tangkapan di luar pantai yang mana aktiviti perlombongan pasir untuk penambakan dijalankan.

Mereka turut memberi alasan bahawa kawasan yang menghadap pantai barat Pulau Pinang berjarak 50 kilometer (km) dari pantai akan dimusnahkan oleh aktiviti perlombongan pasir yang akan menurunkan kualiti air yang sesuai untuk pembesaran ikan.

Kehilangan keseluruhan kawasan penangkapan ikan akan berlaku sehingga 100 kilometer dari pantai semasa projek ini berjalan.

Aktiviti pemusnahan yang mengambil masa 30 tahun akan memupuskan kuantiti tangkapan ikan kerana beberapa generasi penetasan dan pembesaran terganggu.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar berkata, dakwaan mengatakan nelayan dipaksa dan diugut untuk hadir perhimpunan bantahan adalah tidak benar.

Ini kerana, menurutnya, nelayan yang berdaftar dengan Pen Mutiara perlu seiring dengan peraturan persatuan dalam sebarang pergerakan atau keputusan.

"Kami berpegang kepada Peraturan 27 (1) Persatuan Nelayan Akta Persatuan Nelayan 1972, seorang ahli tidak boleh membuat sebarang perlakuan yang memudaratkan persatuan dan seorang ahli itu perlu bergerak seiring dengan tujuan-tujuan persatuan.

"Jadi ahli-ahli tidak dipaksa untuk menyertai perhimpunan ini dan kehadiran mereka pada hari ini adalah sekitar 80 peratus," katanya.