'Dengar suara akar umbi, bukan pengampu' - Tajuddin

Iklan
Tajuddin (tengah) bersama Tina (kanan) menyampaikan set komputer riba kepada pelajar TIC sempena majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TT Group Companies pada Ahad.

Iklan
Iklan

IPOH - UMNO perlu mendengar suara akar umbi dan menunjukkan keikhlasan sekiranya mahu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Julai depan, kata bekas Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, sejarah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu telah membuktikan, kealpaan pimpinan parti dalam perkara itu membawa kekalahan cukup besar di peringkat Parlimen dan negeri.

Iklan

"Pilihan raya ini (PRN), saya mohon cek betul-betul peringkat akar umbi, jangan dengar dua ke tiga orang bercakap sahaja yang kebanyakannya hanya jadi pengampu dan penyokong.

"Sekali kalah kerana jentera pilihan raya ketika itu tidak mendalami kemahuan dan masalah akar umbi," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TT Group Companies di Taj International College (TIC) di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama Pengasas TT Group Companies, Tina Tajuddin.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, parti keramat orang Melayu tersebut perlu bangkit melakukan gerakan yang boleh membangkitkan semangat dan keyakinan pengundi.

Katanya, sekiranya tiada perubahan, maka perjuangan Melayu yang dibawa UMNO akan berdepan halangan lebih berat pada masa akan datang.

"Walaupun keahlian saya dah digantung, sebagai orang Melayu saya ada hak untuk menyeru kepimpinan menangkan parti ini, jangan fikir benda lain kerana orang Melayu bergantung kepada UMNO.

"Walaupun sekarang dah terpaksa bekerjasama dengan DAP, UMNO mesti tegak atas kaki sendiri, mesti bangkit dan menang semula," ujarnya.

Pada majlis itu, Tajuddin yang merupakan Pengasas TIC turut menyempurnakan pelancaran promosi kad medikal model baharu dengan kerjasama Mediklinik Manjoi serta penyampaian set komputer riba kepada pelajar TIC.