KUALA LUMPUR - Kegiatan sekumpulan lelaki termasuk remaja sanggup mempertaruhkan nyawa dengan aksi berbahaya di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Ops Samseng Jalanan, awal pagi semalam.
Operasi yang diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod bersama lapan anggota berjaya menahan lima lelaki selepas melakukan beberapa aksi berbahaya seperti 'superman' dan bersaing sesama sendiri.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Saleh berkata, kesemua mereka ini berusia lingkungan 17 hingga 22 tahun.
"Semakan lanjut mendapati salah seorang daripada mereka ini tidak mempunyai lesen memandu.
"Kesemua penunggang motosikal ini ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam operasi sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Pahang, Setapak, di sini, juga, polis turut menahan dua lelaki berusia 23 dan 40 tahun kerana menunggang motosikal yang didapati mempunyai rekod hilang di Jalan Klang Lama pada Mac lalu dan di Danau Kota pada Februari lalu.
Katanya, operasi SJR yang diketuai Pegawai Penguatkuasa JSPT Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Leonard Lawrance Abbie telah mengeluarkan sebanyak 159 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan.
"Saman bagi kesalahan tiada lesen memandu mencatatkan jumlah paling tinggi dan lain kesalahan turut dikesan seperti cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan tiada cermin sisi," katanya.