Sukan SEA: Skuad hoki negara mara ke final dengan bergaya

Iklan
Malaysia menamatkan saingan liga sepusingan hoki lelaki Sukan SEA 2023 di kedudukan teratas dengan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Indonesia 4-2, hari ini. - Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation

MALAYSIA menamatkan saingan liga sepusingan hoki lelaki Sukan SEA 2023 di kedudukan teratas dengan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Indonesia 4-2 pada perlawanan terakhir di sini, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di padang hoki Stadium Nasional Morodok Techo, Malaysia yang telah mengesahkan kemaraan ke final lebih awal, berdepan tentangan sengit sekali gus buntu menemui jaringan hingga menghampiri separuh masa.

Iklan
Iklan

Namun, selepas bertahan dengan baik, gawang Indonesia akhirnya dibolosi dua kali dalam tempoh singkat selepas Shahmie Irfan Suhaimi dan Muhammad Najib Abu Hassan masing-masing meledak jaringan padang pada minit ke-28.

Mendahului 2-0, anak buah Muhamad Amin Rahim semakin selesa mengawal permainan apabila Mohammad Harris Iskandar Osman menjadikan kedudukan 3-0 menerusi jaringan padang, sebelum Muhammad Amirul Hamizan Azahar mencetak nama sebagai penjaring selepas menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-43.

Iklan

Bagaimanapun, kealpaan pasukan negara membawa padah yang menyaksikan Indonesia berjaya mengurangkan defisit jaringan selepas Derangga Raditya meledak dua gol, masing-masing menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44 dan jaringan padang seminit kemudian.

Kejayaan menundukkan Indonesia menyaksikan Malaysia mencatat kemenangan keempat berturut-turut untuk menerajui saingan liga dengan mengumpul 12 mata, menjelang aksi final bertemu Singapura di venue sama, Selasa depan.

Iklan

"Secara keseluruhan persembahan kurang memberangsangkan. Banyak melakukan kesilapan mudah hingga membenarkan lawan menjaringkan dua gol. Namun keluar dengan kemenangan dan kekal rekod bersih tanpa kalah harus diberi pujian.

"Kita akan gunakan rehat esok dengan baik dan lakukan analisa bagaimana untuk bermain baik serta kembalikan keyakinan pasukan. Siapa pun lawan kami di final, kami akan turun dengan bermati-matian bagi memastikan pingat emas milik pasukan Malaysia,” kata Muhamad Amin, di sini.

Singapura melangkah ke final dengan kelebihan jaringan mengatasi Indonesia selepas kedua-dua pasukan berkongsi tujuh mata.

Kejayaan Singapura itu hadir selepas menewaskan Thailand 6-1 pada satu lagi aksi di sini, hari ini. - Bernama