KUALA LUMPUR - Pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang menekankan aspek tatakelola yang baik telah memberi impak positif kepada negara dengan terbukti berjaya menarik kemasukan pelabur asing dan meningkatkan kutipan hasil negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kerana apa kita (berjaya) lakukan? Kerana apabila diberikan kuasa (menjadi kerajaan), kita hentikan sama sekali kerja-kerja sakau, ambil duit rakyat, kita tidak langgar peraturan, kita tidak izin ambil kontrak tanpa tender, ambil kontrak dengan komisen, kita tidak izin pemimpin ambil duit rakyat.
"Ini maknanya tatakelola, guna kuasa bantu rakyat.. hasilnya Januari hingga April, Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) meningkat 5.6 peratus, lagi tinggi daripada China, Vietnam dan Indonesia... LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) pula lapor kutipan cukai juga bertambah, dari mana bertambah? Orang yang dulu dok curi tak bayar cukai, sekarang semua bayar, sebab tahu tak boleh sogok.. LHDN harus bersih betul maka hasil kita meningkat.
"Ini kerja pasukan kita, kita mencatat pelaburan Amazon berpuluh bilion, Geely (melabur) berbilion di Tanjung Malim, China (melabur) RM170 bilion, datang memberi pelaburan dan pekerjaan di negara kita, kerana mereka percaya kita tidak sakau, tidak curi duit, tidak ambil komisen dan kita tahu kerja menjaga kepentingan rakyat (jadi) inflasi turun, defisit turun, hasil naik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Gombak hari ini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang memasuki usia enam bulan ketika ini juga telah menyaksikan bantuan paling tinggi dalam sejarah diberikan kerajaan kepada golongan miskin serta para nelayan dan pekebun kecil.
Beliau pada masa sama berkata Kerajaan Perpaduan akan terus bekerja keras membangunkan negara seterusnya mengangkat martabat Malaysia sebagai negara gagah di rantau Asia.
"Kita teruskan kerja kuat, pastikan ada perubahan...kuasa kita ini untuk apa? Tanggungjawab kita pada Allah SWT, apa yang kamu lakukan untuk kuasa ini?....kita akan terus hentikan sama sekali sakau (seperti) apa yang kita lakukan sepanjang enam bulan memerintah, saya tidak akan gentar.
Kita akan bersihkan negara... SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) akan siasat, siapa akan dakwa itu pula (serah pada) Jabatan Peguam Negara, siapa hukum pula (itu) kerja Hakim," katanya.
Anwar dalam ucapannya juga mengingatkan semua golongan pemimpin agar teguh berprinsip di dalam perjuangan dan tidak menggadai diri kerana mengejar harta dan kuasa. - Bernama