JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu membabitkan lebih RM1.7 juta.
Suspek masing-masing lelaki berusia 32 dan 50 tahun itu ditahan SPRM kira-kira jam 12 tengah hari, semalam di Pejabat SPRM Johor.
Penahanan kedua-dua mereka dilakukan susulan tangkapan dibuat SPRM pada 22 April lalu melibatkan dua pemilik syarikat kontraktor yang disyaki mengemukakan tuntutan palsu ke atas MPPG di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS).
Hasil siasatan awal, SPRM mendapati kedua-dua suspek lelaki terdahulu yang berusia 43 dan 33 tahun itu bersubahat membuat tuntutan palsu berkaitan kerja-kerja menyelenggara dan membaiki sistem lampu isyarat.
Bagaimanapun, kerja-kerja penyelenggaraan yang sepatutnya dijalankan di beberapa kawasan sekitar Pasir Gudang dan Bandar Seri Alam bagi tahun 2016 berjumlah lebih RM1.7 juta itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Kedua-dua suspek kini sedang direman bermula hari ini sehingga 4 Mei depan membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua kontraktor ditahan kes tuntutan palsu lebih RM1.7 juta