TAWAU - Seorang pekerja ladang ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kongsi di kawasan estet di Kalabakan dekat sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Sofian Aggel Ibrahim, 52, dipercayai tidak sempat keluar dari rumah berkenaan sebelum ditemukan dalam keadaan rentung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.50 petang melalui Balai Polis Bombalai.
Katanya, pengadu lewat melaporkan perkara itu disebabkan lokasi kejadian tiada liputan rangkaian telekomunikasi.
"Seramai empat anggota bomba dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 65 kilometer untuk mengambil maklumat dan pengesahan kebakaran.
"Pengadu memaklumkan telah menemui mangsa dalam keadaan rentung dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, blok rumah kongsi yang mempunyai tujuh pintu serta jenis tidak kekal itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran.
"Pemeriksaan turut dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.31 petang," katanya.