SHAH ALAM - Petrosains Sdn Bhd menerapkan eleman kelestarian dalam setiap program yang dijalankan sepanjang tahun ini bagi memberi kesedaran serta meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat khususnya golongan muda mengenai pembangunan yang mampan dan inklusif. Ia adalah salah satu usaha Petrosains melengkapi usaha PETRONAS dalam mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.
Pengarah Programnya, Norhana Hamim berkata, antara program yang bakal diadakan adalah Petrosains RBTX Challenge dan ianya terbuka kepada semua lapisan masyarakat terutama sekali peminat robotik di dalam dan luar negara. Program ini merupakan platform untuk mereka berkumpul bagi mempelajari, menerokai dan bertanding menggunakan robot ciptaan mereka selain membantu penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi serta keupayaan berinovasi.
"Sebagai wadah impak sosial PETRONAS khusus dalam usaha memperkasakan ilmu dalam pendidikan STEM, Petrosains komited dalam membantu melahirkan bakat muda yang mempunyai keupayaan berinovasi secara lestari yang penting dalam memacu pembangunan negara secara mampan pada masa akan datang.”
"Sejak diwujudkan pada tahun 2018, program ini telah menerima hampir 3,000 penyertaan dari dalam dan luar negara. Pada 2022, pihak kami telah menerima penyertaan sebanyak 1035 pasukan dan hampir 90 peratus daripada jumlah tersebut dalam kalangan anak muda," katanya ketika ditemubual oleh Sinar Harian.
"Untuk tahun ini, mereka yang berminat untuk menyertai Petrosains RBTX Challenge boleh mula membuat pendaftaran pada 18 Mei 2023.
"Kemahiran tersebut amat penting untuk digarap oleh anak muda untuk memastikan mereka sentiasa relevan terutama sekali dalam Revolusi Industri 4.0. Apabila anak muda dapat lengkapkan diri dengan kemahiran ini, mereka dapat menjamin masa depan lebih cerah untuk mengunci peluang dalam pasaran kerja masa hadapan yang sangat dinamik.
"Melalui program ini juga, peserta diberi ruang dan peluang untuk mengetengahkan idea serta berinovasi bagi menyelesaikan masalah sebenar yang wujud di sekeliling mereka”.
"Dengan menjadikan kelestarian tema utama dalam Petrosains RBTX Challenge, para peserta perlu mengetengahkan inovasi yang dapat membantu mengurangkan dan menangani isu perubahan iklim dengan melalui teknologi yang mereka cipta" jelasnya.
Norhana turut berpendapat pemanasan global dan kemerosotan alam sekitar dapat diatasi dengan kerjasama daripada pelbagai pihak iaitu pemain industri dan juga orang awam.
"Dengan menggunakan pendekatan pembelajaran tidak formal, aktiviti berbentuk hands-on dalam suasana yang menyeronokkan untuk mengendalikan program kelestarian di Petrosains, diharapkan ianya dapat membantu masyarakat mendapatkan kefahaman yang lebih baik tentang punca yang menyumbang kepada perubahan iklim, seterusnya meningkatkan kesedaran mereka dan mengenalpasti apakah usaha yang mereka dapat lakukan dalam kehidupan harian dalam mengurangkan isu ini contohnya mengubah rutin mereka dengan menggunakan sumber alam secara lestari,"ujarnya.
Beliau juga memberitahu, beberapa tema lain yang diterapkan dalam program Petrosains sepanjang tahun ini adalah gas rumah hijau, Carbon Capture and Storage, Circular Economy serta biodiversiti.