KUALA TERENGGANU - Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman menafikan satu hantaran di laman sosial Facebook yang didakwa telah menggunakan namanya untuk memuat naik kenyataan palsu pada Ahad.
Menurutnya, kenyataan itu seolah-olah beliau menyokong bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
"Saya dengan ini menegaskan bahawa akaun Facebook tersebut adalah palsu dan kenyataan yang dimuatkan naik juga tiada mengena dengan saya malah suntingan dengan meletakkan nama akaun 'page Facebook' saya juga agak keterlaluan.
"Saya percaya bahawa propaganda murahan seperti ini dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai niat jahat dan mulai takut dengan kesedaran rakyat untuk kembali kepada BN pada PRN tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan di sini, malam Ahad.
Menurut Ahmad Razif, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan atau melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu.
"Taktik politik murahan sebagaimana yang disebarkan melalui akaun Facebook palsu tersebut adalah memalukan di saat demokrasi harus disegarkan dengan politik matang dan harmoni.
"Saya harap agar akhlak politik jijik ini mesti dihentikan segera dan saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan atau melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya
Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, beliau turut meminta supaya rakyat lebih berhati-hati dengan propaganda seperti itu dan mendapatkan maklumat sebenar sebelum memberikan reaksi atau menyalin akaun palsu tersebut untuk disebarkan.
"Marilah kita menjauhkan diri daripada politik fitnah, murahan dan berniat jahat seperti itu kerana ia itu bukanlah amalan yang selari dengan demokrasi sebenarnya," katanya.
Januari lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mohd Khairuddin telah menyertai Majlis Ulama UMNO untuk memperkasakan lagi perpaduan ummah di negara ini.
Mohd Khairuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus menyertai UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Beliau telah mempertahankan kerusinya di Parlimen Kuala Nerus atas tiket BN pada pilihan raya itu namun tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Alias Razak daripada Pas.
Alias memenangi 56,697 undi manakala Mohd Khairuddin memperolehi 26, 932 undi, diikuti Datuk Seri Suhaimi Hashim (Pakatan Harapan) dengan 3,708 undi manakala Azaha Wahid (Pejuang) pula 291 undi.