NEGERI Sembilan FC enggan memberikan tumpuan terhadap pemburuan kedudukan kelompok terbaik Liga Super musim ini biarpun melakar kemenangan ketiga menewaskan Kuala Lumpur City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad.
Sebaliknya pengendali skuad Rusa, K Devan sekali lagi menegaskan fokus utama pada masa ini adalah untuk memantapkan mutu persembahan dan prestasi skuad Hoben Jang Hoben itu.
Malah jelasnya, skuad Jang musim ini perlu realistik apabila mereka mempunyai keterbatasan barisan pemain import.
"Kalau saya ada satu pasukan yang cukup dengan semua kuota (pemain import), mungkin saya akan kejar tempat teratas liga, tapi buat masa ini kita akan tengok macam mana dan mengutip seberapa banyak mata yang boleh untuk pusingan pertama...kita fikir tentang kedudukan realistik pasukan.
"Lepas itu untuk pusingan kedua, kita tengok kepada kemampuan kelab untuk ambil pemain import dan cuba membuat sesuatu, sebab mata (dalam liga) pun tidak banyak beza dengan pasukan lain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, gol skuad Hobin Jang Hobin dijaringkan kapten pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-73 sebelum KL City FC menyamakan kedudukan minit ke-84 hasil jaringan pemain gantian, Zhafri Yahya yang menyudahkan sepakan percuma Paulo Josue.
Ketika perlawanan seakan berkesudahan dengan keputusan seri, Safuwan Baharudin muncul wira skuad Rusa apabila meledak jaringan kemenangan tuan rumah pada minit ke-87.
Dalam pada itu, Devan berkata, kesungguhan dan komitmen pemain dalam padang selain pemain gantian mengikuti taktikal disiplin sepanjang aksi ternyata membuahkan hasil ketika berdepan anak buah Bojan Hodak.
Tambah Devan, dia juga enggan melayani pandangan pihak luar berhubung kemenangan ketiga yang dianggap bagi ‘menutup mulut’ pengkritik berkenaan prestasi skuad bimbingannya itu.
"Setiap orang ada pendapat masing-masing, tidak sama dengan saya, tetapi apa yang berlaku dalam pasukan, saya lebih tahu. Saya tidak kata pendapat mereka salah, yang penting sebagai jurulatih saya akan fokus dengan tugas saya,” ujarnya.
Keputusan di Paroi memperbaiki kedudukan Negeri Sembilan yang kini berada di tangga kesembilan dengan 13 mata manakala KL City kekal di tangga keenam (15 mata) selepas masing-masing melengkapkan perlawanan ke-10 liga.
Sebagai rekod, perlawanan itu merupakan aksi tertunda berikutan cuaca buruk dan keadaan padang di laman keramat skuad Hobin Jang Hobin yang ditakungi air pada Mac lalu.