JOHOR BAHRU - Malaysia berjaya dicalonkan sebagai anggota Lembaga Eksekutif United Nations Human Settlement Programme (UN Habitat) dalam pemilihan yang bakal diadakan bulan hadapan.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pemilihan tersebut akan dibuat di Nairobi, Kenya pada 4 Jun ini.
"Kita sedang berusaha mendapatkan sokongan dari negara yang sehaluan dengan kita agar dapat dicalonkan untuk menganggotai Lembaga Eksekutif UN-Habitat.
"Jemaah Menteri meluluskan untuk KPKT menerajui usaha ini sekali gus memenangi pemilihan di Perhimpunan UN Habitat," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Anjung Selera Laman Tasik Pandan di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.
Sebanyak 193 negara akan menyertai himpunan UN Habitat dan hanya 36 negara akan dipilih menduduki Lembaga Eksekutif itu.
Pada 28 Mac lalu, Malaysia dilapor berhasrat mewakili rantau Asia Pasifik sebagai anggota Lembaga Eksekutif UN Habitat.
Kor Ming berkata, hasrat itu bertujuan meletakkan negara di barisan hadapan dalam agenda perbandaran mampan dan sejagat di pentas global.
Beliau dilaporkan berkata, KPKT sudah mengadakan sesi libat urus bersama duta besar dan wakil kedutaan asing di Malaysia dari negara-negara rantau Asia Pasifik sebagai persediaan menghadapi pemilihan berkenaan.