KULIM - Helah seorang lelaki yang kononnya datang ke rumah teman wanitanya untuk mengambil air kerana bekalan di rumahnya terputus tidak berhasil apabila dia dan pasangannya ditahan kerana berkhalwat.
Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, lelaki berusia 35 tahun itu dan pasangannya ditahan di rumah sewa wanita berusia 48 tahun di Taman Sri Pinang pada awal pagi Isnin.
Katanya, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan maksiat di rumah terbabit.
"Hasil pemeriksaan pada jam 1.50 pagi itu mendapati keadaan pintu rumah berkenaan tertutup dan berkunci dari dalam," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, pasangan terbabit yang juga penjawat awam turut mendakwa masih bujang dan belum berkahwin.
"Mereka gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri sehingga menimbulkan syak mereka berkhalwat.
"Ketika pemeriksaan juga anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) turut menemui banyak barangan milik lelaki itu di rumah terbabit," katanya.
Anwar Sharifudin berkata, mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan.