Raja libas tidak pernah lupa sepak takraw negara - anak

Iklan
Allahyarham Adnan Saidin

RAJA libas negara, Allahyarham Adnan Saidin, 66, sentiasa mengikuti perkembangan semasa sukan sepak takraw negara dan menyifatkan sukan ini masih mempunyai masa depan cerah serta mampu menyerlah di pentas antarabangsa berdasarkan bakat-bakat baharu dan sedia ada.

Perkara tersebut didedahkan anak ketiganya, Mohd Faizal Adnan, 38, yang juga bekas perejam negara, Kedah dan Negeri Sembilan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Allahyarham yang merupakan Pemain Terbaik Asia 1984 dan digelar Raja Sepak Takraw Asia 1986 itu masih lagi memberikan tumpuan kepada perkembangan sepak takraw negara dan sering bertanya serta berkongsi pendapat dengannya tentang sukan itu.

"Walau dalam keadaan yang macam itu (tidak sihat) ayah masih lagi menyokong dan tengok. Kadang-kadang saya yang akan beritahu tentang keadaan semasa sukan sepak takraw kepadanya. Terbaharu saingan Sukan SEA 2023 ayah tidak sempat lihat sebab masuk hospital," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Huda, Jalan Gangsa, dekat sini pada Isnin.

Iklan

Media melaporkan negara kehilangan permata sukan sepak takraw apabila Adnan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar, akibat masalah kesihatan pada pagi Isnin.

Jenazah disembahyangkan di Surau Kampung Padang, Batu Dua, Tandop, Alor Setar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang selepas solat Zohor.

Iklan

Mohd Faizal berkata, Allahyarham bapanya dimasukkan ke sebuah hospital swasta sejak seminggu lalu kerana sering mengadu keletihan.

Mohd Faizal (tengah) mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang mendokan allahyarham bapanya. Gambar kecil: Mohd Zahir Awang, Azman Ismail

"Ayah dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar kerana mengalami masalah pada jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru. Masuk hari ketiga dirawat, dia tidak sedarkan diri dan imbasan pada kepala mendapati terdapat pendarahan dalam kepalanya.

"Allahyarham kemudiannya telah dirujuk ke HSB, semalam dan meninggal dunia hari ini,” ujarnya.

Sementara itu, bekas rakan regu negara Allahyarham yang beraksi di posisi apit kanan, Mohd Zahir Awang, 60, menyifatkan Adnan adalah pemain legenda sepak takraw yang sukar dicari ganti kerana mempunyai disiplin tinggi baik semasa latihan ataupun perlawanan sebenar.

Menurutnya, walaupun dia merupakan pemain negara paling muda ketika itu namun rakan-rakan lain terutamanya Allahyarham Adnan tidak lokek untuk berkongsi ilmu.

"Adnan adalah seorang pemain disiplin yang tinggi, saya dapat banyak pengalaman daripada Allahyarham dan Azman Ismail semasa berada dalam satu regu dan kami dianggap antara regu terbaik Asia ketika itu.

"Allahyarham banyak membantu memberikan petua kepada kami terutamanya saya dalam menghadapi lawan pada situasi getir. Dia banyak bagi motivasi dan saya anggap dia masih lagi antara pemain sepak takraw negara sehingga sekarang," kata Mohd Zahir.

Azman, 62, juga turut mengakui disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh Allahyarham Adnan dan meminta pemain negara pada hari ini mencontohi sikap serta kesungguhan legenda tersebut semasa beraksi mewakili negara.

"Adnan bila bermain memang tidak mudah mengaku kalah dan bila bermain akan bermain betul-betul. Dia akan usaha dan belajar dari kesilapan-kesilapan sebelum itu. Dia akan sentiasa meningkatkan prestasinya," ujarnya..

Allahyarham memikul tanggungjawab sebagai ketua pasukan negara bermula dari 1980 hingga 1986 dan Kedah dari 1976 hingga 1992 banyak melakar kenangan manis dalam sukan takraw.

Anak jati Kampung Padang, Tandop, dekat sini itu mula berjinak-jinak dalam sukan tersebut sejak berusia lapan tahun yang kemudiannya jejak langkah itu dituruti oleh Ahmad Faizal.

Antara pencapaian terbaik allahyarham bersama pasukan sepak takraw Malaysia adalah meraih pingat emas regu berpasukan Sukan SEA Jakarta 1979, Manila 1981 dan Singapura 1983 selain juara Kejohanan Asia 1980 di Kuala Lumpur serta Piala Raja Thailand 1985 di Bangkok.