JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan perasaan kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri ini.
Baginda bertitah kebanyakan flat-flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.
"Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam ‘reban ayam’.
"Saya harap kerajaan pusat akan berikan bantuan untuk baik pulih flat kos rendah yang lama, dan penduduk juga mesti sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kawasan flat mereka” titah baginda dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi pada Isnin.
Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan rasa tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pembersihan yang dijalankan oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM) di negeri ini.
"Kerajaan negeri terpaksa membayar hampir RM180 juta setiap tahun kepada SWM, namun perkhidmatan (pembersihan) atau pungutan sampah yang dijalankan langsung tidak memuaskan.
"Malah perjanjian bersama SWM adalah ‘watertight’ seolah-olah tidak boleh dipertikaikan. Walaupun banyak aduan telah dibuat mengenai perkhidmatan SWM yang mengecewakan, namun keadaan masih tidak berubah," titah baginda.
Sebelum itu, Sultan Ibrahim menerima menghadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Hadir sama, Timbalan Menteri KPKTAkmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, serta Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman,
Sultan Ibrahim, menegaskan KPKT perlu mengambil perhatian perkara-perkara yang disampaikan baginda demi kepentingan rakyat.