Cuaca panas: Tumbesaran pokok durian musang king terbantut

Iklan
Zulkifli menunjukkan air yang disalurkan ke pokok durian musang king yanag ditanam lebih setahun lalu bagi mengelakkan masalah bantut.

KUALA KRAI - Seorang pemilik kebun di Kampung Bedal di sini mengambil keputusan memasang alat saliran air ke pokok durian musang kingnya lebih awal berikutan beberapa pokok yang ditanam mengalami masalah bantut akibat kemarau.

Mohd Zulkifli Mohamed, 48, berkata, inisiatif memasang saliran sepanjang 1,800 meter itu diambil bagi mengelakkan lebih banyak tanaman berkenaan mengalami masalah tumbesaran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tanah seluas 1.2 hektar miliknya itu turut ditanam dengan durian duri hitam, nenas, kelapa dan pisang.

"Saya perlu memberikan perhatian kepada 100 pokok durian termasuk 88 durian musang king kerana usia tanaman ini baharu sahaja mencecah lebih setahun," katanya ketika ditemui di kebunnya pada Ahad.

Iklan

Zulkifli berkata, durian musang king memerlukan penjagaan yang lebih baik berbanding tanaman lain di kebun itu bagi mengelakkan pokok rosak.

Katanya, pokok durian jenis itu juga mengambil masa kira-kira tujuh tahun untuk berbuah.

Iklan

Zulkifli menunjukkan pokok kelapanya yang terbantut akibat cuaca panas


"Jadi saya tidak boleh menunggu lebih lama dan ambil keputusan pasang saliran air dengan segera," ujarnya.

Dia turut mengakui panas melampau dengan suhu mencecah sehingga 37 darjah Celsius di Kuala Krai menyebabkan tanah kering.

"Saya mengambil punca air diambil dari sungai berhampiran untuk dialirkan ke pokok durian," katanya.

Jelasnya, pada hari biasa, saliran air dibuka selama satu jam namun kini dia perlu memastikan pokok menerima air antara empat hingga lima jam sehari.

Zulkifli yang juga seorang peniaga tidak mengalami banyak masalah kerana dia mempunyai pembantu yang akan menguruskan tanamannya setiap hari.

Bagaimanapun, Zulkifli bersyukur kerana mendapat kerjasama dan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian negeri mengenai kaedah penjagaan durian jenis itu.

Dia turut berharap fenomena cuaca panas tidak berlaku terlalu lama kerana ia boleh menjejaskan pekebun-pekebun sayur sepertinya.

"Kami merupakan individu yang paling terkesan akibat cuaca panas kerana sayur akan mudah layu dan memerlukan penjagaan rapi," katanya.