KUALA LUMPUR - Ibu tunggal, Loh Siew Hong memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, terhadap keputusan mahkamah yang mengekalkan status quo agama Islam tiga anaknya yang ditukar secara sebelah pihak oleh bekas suaminya, tiga tahun lalu.
Menurut permohonan yang difailkan, Siew Hong memohon anak-anaknya diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu.
Dia yang juga ibu tunggal berusia 35 tahun, turut memohon akuan agama Islam bagi kesemua anaknya, tiga tahun lalu, dibatalkan.
Wanita itu memohon perisytiharan bahawa, bekas suaminya tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk mendaftarkan nama tiga anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.
"Saya memohon Pendaftar Mualaf Negeri Perlis membatalkan kad memeluk agama Islam dan memadamkan nama mereka daripada Daftar Mualaf Negeri Perlis," kata notis rayuan itu.
Dia turut memohon perisytiharan bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak tanpa kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa adalah bertentangan dengan Perlembagaan, tidak sah dan terbatal.
Pada Khamis lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan tiga anak Siew Hong masih bergelar Muslim dengan menetapkan bahawa status quo agama mereka, kekal.
Sebelum ini, wanita berkenaan memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.
Menurut permohonan yang difailkan, wanita itu antara lainnya memohon agar anak-anaknya, iaitu pasangan kembar berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun diisytiharkan sebagai penganut Hindu dan akuan memeluk agama Islam kesemua kanak-kanak itu bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.
Ini kerana dia mendakwa tiga anaknya telah didaftarkan sebagai Muslim tanpa persetujuannya, oleh bekas suaminya Muhammad Nagashwaran Muniandy, selepas memeluk Islam.