SHAH ALAM - Isu kadar kenaikan hotel di Makkah dan Madinah yang meningkat secara mendadak antara beberapa perkara berjaya dibangkitkan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dalam sesi perbincangan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin.
Naib Presiden Haji dan Umrah MATTA, Mohd Azri Abd Razak berkata, antara perkara lain yang turut dibangkitkan adalah harga tiket penerbangan yang membebankan serta jumlah kekerapan penerbangan ke Jeddah yang semakin terhad terutamanya ketika musim kemuncak.
Iklan
Iklan
Selain itu katanya, MATTA turut menyuarakan kesukaran syarikat pelancongan membuat tuntutan bagi jemaah yang mengalami masalah kesihatan ketika menunaikan umrah disebabkan terdapat syarikat insurans berbeza melibatkan urusan tuntutan.
"Berdasarkan perbincangan yang telah diadakan, MATTA bersyukur berjaya mengetengahkan beberapa isu berbangkit dan kerajaan Arab Saudi juga sedia mempertimbangkan perkara-perkara yang disuarakan itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohd Azri berkata, MATTA turut menyambut baik keputusan pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz (KAIA) yang membenarkan jemaah membawa pulang air zam-zam dengan mematuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan.
"Antara syarat yang dikeluarkan adalah jemaah tidak dibenarkan untuk memasukkan botol air zam-zam ke dalam bagasi sebaliknya membawa bersama ke dalam kapal terbang, operasi penghantaran pembelian air zam-zam hendaklah berlangsung di tempat jualan utama.
"Selain hanya botol lima liter sahaja yang dibenarkan untuk dibawa pulang dengan syarat, jemaah perlu mengemukakan bukti pendaftaran umrah melalui aplikasi Nusuk," ujarnya.