SERDANG - Draf rang undang-undang bagi mewujudkan akta baharu berkaitan penyalahgunaan dadah dan bahan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri pada Julai ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin berkata, sekiranya draf berkenaan diluluskan, beliau berharap ia dapat dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.
"Kami berharap ia dapat dilaksanakan mengikut jadual agar bacaan kali pertama itu dapat dibuat di Parlimen pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan sambutan Hari Raya Aidilfitri KDN Madani di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.
Pada Mac lepas, media melaporkan kerajaan dalam usaha menggubal akta baharu, Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi mengurangkan bilangan penagih di penjara dengan menempatkan mereka di institusi atau rawatan pemulihan komuniti.
Mengulas mengenai isu permohonan taraf kewarganegaraan, Saifuddin Nasution berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima hampir 8,000 permohonan kewarganegaraan bagi tempoh minggu pertama bulai Mei ini.
"Satu daripada tumpuan saya adalah kepada permohonan di bawah kewarganegaraan anak angkat yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya.
Beliau berkata golongan berkenaan mempunyai masalah yang berlarutan sehingga sukar untuk mendapatkan rawatan perubatan dan kemudahan di sekolah.
"Golongan berkenaan akan dilayan seperti orang asing kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri maka itu adalah antara fokus saya,” katanya.
Pada Februari lepas, KDN menyasarkan untuk memproses sekurang-kurangnya 10,000 permohonan taraf kewarganegaraan pada tahun ini.
Mengulas mengenai Malaysia yang berada pada kedudukan ke-75 dalam Indeks Keganasan Global (GTI), Saifuddin berkata, satu kertas akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Rabu ini berkenaan perkara itu.
"Saya takkan respons pada hari ini kerana saya akan membentangkannya pada hari Rabu ini dan akan dikongsikan kepada media jika berminat,” katanya.
Pada 11 Mei, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, Malaysia berada di kedudukan ke-75 dalam GTI pada 2022 berbanding ke-68 pada 2021, dan pencapaian itu memberi indikasi yang baik terhadap negara. - Bernama