KOTA TINGGI - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan tiada lagi projek sakit membabitkan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) menjelang tahun hadapan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, terdapat sebanyak 17 projek sakit yang telah dikenal pasti dengan lapan daripadanya setakat ini telah siap sepenuhnya termasuk proses penyerahan kunci.
"Setakat ini, tidak sampai enam bulan tahun ini, lapan projek sakit telah siap dan kunci telah diserahkan, tiga lagi dijangka disiapkan menjelang akhir tahun ini dan bakinya tahun hadapan.
"Menjelang tahun 2024 memang tiada lagi projek sakit...ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani yang sentiasa mengangkat martabat, menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci dan Jamuan Makan Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 Residensi Kota Tinggi di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Kor Ming berkata, antara projek sakit yang telah berjaya disiapkan adalah Residensi Taman Raia Sentosa dan Residensi Sitiawan Fasa 2 di Perak; Residensi Woodford Estate Fasa 1 dan Residensi Ranggu di Sabah, Residensi Seri Mahkota di Kedah dan Residensi Bandar Bukit Mahkota di Selangor.
Di Johor, katanya, ia melibatkan projek Residensi Kota Tinggi dan Residensi Pelangi Indah, manakala Residensi Larkin Indah dijangka siap suku ketiga tahun ini.
Terdahulu, Kor Ming dalam ucapannya berkata, Residensi Kota Tinggi mempunyai 625 unit rumah teres serta dilengkapi fasiliti untuk kemudahan penduduk, seperti tadika, dewan serbaguna, taman permainan dan surau.
Beliau berkata, projek yang dikenal pasti sebagai Projek Sakit Tahap 1 oleh kementeriannya itu berjaya disiapkan melalui Program Pemulihan Projek Sakit KPKT. - Bernama