BACHOK - Kes kebakaran selama empat bulan pertama tahun ini di negeri Kelantan mencatat peningkatan luar biasa berikutan kemarau panjang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Md Salleh Sarbini berkata, sebanyak 1,139 kes kebakaran ditangani bomba dari Januari hingga 25 April tahun ini.
"Jumlah ini hampir menyamai jumlah keseluruhan kes tahun 2017 dan 2018. Pada bulan Mac tahun ini sahaja kita mencatat 483 kes berbanding 169 kes Mac 2017 dan 170 kes untuk Mac 2018
"Sebanyak 1,146 kes kebakaran dicatat sepanjang tahun 2017 dan 1,312 kes sepanjang 2018, peningkatan luar biasa tahun ini kerana kita berdepan kemarau untuk tempoh empat bulan pertama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian pada Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Kelantan di Balai Bomba dan Penyelamat Bachok di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah JBPM Kelantan, Anwat Abu Bakar dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Yus Herary Mahmud.
Menurutnya, kes kebakaran hutan, belukar dan lalang di kawasan tanah gambut akibat kemarau menjadi penyumbang besar peningkatan kes dengan purata 30 kes sehari.
"Kota Bharu, Bachok dan Pasir Mas mencatatkan jumlah kes tertinggi di Kelantan. Namun kes kebakaran kembali normal selepas hujan di negeri ini beberapa hari lalu.
"Kita menggiatkan kempen keselamatan kebakaran bagi memberi kesedaran kepada orang ramai," katanya.