NCAA mula gamit Azeem

Iklan
Azeem merekodkan catatan masa terbaik 10.11s pada peringkat saringan Kejohanan SEC Outdoors 2023 di Louisiana, Ahad lalu.

PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi memiliki potensi cerah untuk meraih tiket Divisyen Satu Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) Amerika Syarikat (AS).

Bekas jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, ia berdasarkan pencapaian membanggakan Azeem apabila melakar catatan 10.25 saat (s) untuk meraih tempat ketujuh acara 100 meter (m) Kejohanan SEC Outdoors 2023 di Louisiana pada Ahad.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bagi melayakkan diri ke pentas lebih berprestij NCAA, Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100m perlu berada dalam kedudukan 14 teratas pada kejohanan regional NCAA.

"Saya optimis Azeem akan layak dan berada dalam kelompok 14 terbaik semasa kejohanan regional NCAA. Ada satu lagi kejohanan regional NCAA di Florida minggu depan.

Iklan

"Kejohanan itu akan menjadi pentas terbaik buat Azeem untuk melayakkan dirinya ke NCAA. Kejohanan SEC dan regional adalah platform kelayakan untuk bertanding di NCAA sebenar,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Divisyen satu dikhaskan bagi kelompok atlet terbaik dengan atlet profesional terbanyak hadir dalam kategori itu, manakala divisyen dua mempunyai beberapa atlet yang baik dan segelintir yang boleh bersaing dengan divisyen satu peringkat rendah.

Iklan

Pada Kejohanan SEC Outdoors 2023 di Louisiana, Azeem mencatat masa 10.11s ketika menamatkan peringkat saringan di tempat kedua di belakang rakan sepasukannya dari Universiti Auburn, Favour Ashe.

Ia adalah catatan tahunan terbaik Azeem pada tahun ini dan semakin hampir untuk menyamai rekod 100m kebangsaan iaitu 10.09s yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia tahun lalu.

Mengulas lanjut, Amir juga yakin pelari kelahiran Perak berusia 19 tahun itu akan melalui proses persediaan yang rapi sebelum menyertai sesuatu kejohanan di bumi AS.

"Saya percaya proses latihan yang dilalui di Universiti Auburn menjadikan Azeem lebih matang dan bersedia menghadapi cabaran.

"Saya juga optimis jurulatih, Ken Harnden telah membuat perancangan yang rapi sebagai persediaan buat Azeem untuk layak ke NCAA,” jelasnya.