KAMPAR -"Kali terakhir kami jumpa mak pesan jaga diri dan belajar rajin-rajin," kongsi Ahmad Danish Basyir Nasaruddin, 16, anak kepada Azriyani Abdul Latif, 45, yang maut dalam nahas sebuah kereta dan lori di Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini pada Selasa.
Kejadian jam 2.27 pagi itu turut mengorbankan empat adik-beradik Ahmad Danish iaitu Muhammad Azib Nasaruddin, 23, Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8, Muhammad Fawwaz Nasarudin,7, dan Ahmad Uwais Qorni Nasaruddin, 5.
Ahmad Danish yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik berkata, pesanan itu dititipkan ibunya ketika menghantarnya pulang ke asrama Sekolah Izuddin Shah di Ipoh, pada 1 Mei lepas.
Menurutnya, itu kali terakhir dia berjumpa dan memeluk ibunya sebelum menerima khabar duka kematian pada pagi Selasa.
"Kami hanya sempat bersama ketika raikan raya Aidilfitri tempoh hari. Selepas saya kembali ke sekolah, kami tidak lagi berjumpa mahupun berhubung di talian.
"Cuma sebelum balik, ibu minta saya jaga diri di asrama, jangan buat masalah dan belajar dengan rajin," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kampar di sini.
Ahmad Danish berkata, kejadian itu dimaklumkan oleh kakak saudaranya sekitar jam 7.30 pagi.
"Kakak saudara beritahu abang dan adik dah meninggal, mula saya tidak percaya hinggalah cikgu panggil dan maklumkan perkara sama," katanya.
Ahmad Danish dengan nada pilu berkata, pemergian ibu serta empat adik-beradiknya secara serentak memberi kesan mendalam kepada mereka terutama ayah.
"Adik bongsu (Ahmad Uwais Qorni) sangat rapat dan paling manja. Kalau di rumah, dia tidur sekali dengan saya," katanya.
Semasa kejadian, lima beranak itu dalam perjalanan ke Tapah menaiki kereta jenis Proton Saga dipandu Muhammad Azib.
Sampai di lokasi kejadian, dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.