TNB kongsi tip guna elektrik secara berhemah

Iklan
Pengguna disarankan menyenggara alat penyaman udara dengan kerap bagi membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum.

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengingatkan orang ramai untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh peningkatan titik panas dan jerebu berikutan cuaca kering ketika ini.

Menerusi satu kenyataan, TNB memaklumkan sepanjang tempoh berkenaan, penggunaan elektrik dijangka meningkat akibat cuaca panas selain masih dalam musim perayaan Aidilfitri.

Iklan
Iklan

"Untuk memantau penggunaan elektrik secara langsung, pengguna juga digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan meter pintar sekiranya sudah siap dipasang, sama ada menerusi portal myTNB atau aplikasi myTNB," menurut kenyataan itu, baru-baru ini.

TNB menjelaskan, cara terbaik yang boleh diamalkan untuk mengurangkan penggunaan elektrik adalah dengan mematikan alat penyaman udara, kipas dan lampu dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai digunakan.

Iklan

Selain itu, agensi tersebut turut memberitahu, pada waktu malam, hidupkan kipas bagi membantu pengedaran udara di dalam bilik tidur.

"Suhu bilik akan mencecah tahap yang selesa lebih cepat selepas beberapa jam penyaman udara dipasang dan tetapkan masa untuk ia (penyaman udara) dimatikan bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

Iklan

"Di dapur pula, elak meletakkan peti sejuk di tempat yang panas seperti terdedah kepada pancaran terus cahaya matahari atau berhampiran dengan dapur memasak,” kata kenyataan itu.

Tambah TNB lagi, susunkan barang-barang di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya dua pertiga kapasiti ruangan berkenaan untuk memastikan ada pengedaran udara sejuk.

Pada masa sama, pengguna juga digalakkan memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman.

Di samping itu, pengguna disarankan menyenggara alat penyaman udara dengan kerap bagi membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum selain membersihkan penapis agar udara sejuk dapat keluar dengan lebih lancar.

Maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak boleh didapati di www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks.