SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa agar segera mengkaji semula undang-undang sedia ada di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sekiranya benar-benar mempunyai tekad untuk memerangi rasuah.
Pakar Ekonomi dan Politik, Dr Edmund Terence Gomez berkata, penggubalan akta itu menjadi asas penting bagi membolehkan lebih banyak reformasi berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dapat dilaksanakan.
"Gesaan saya kepada kerajaan dan Perdana Menteri adalah kaji segera Akta SPRM ini. Kami di pihak badan bukan kerajaan (NGO) sudah banyak debatkan isu ini (agar ia segera dilaksanakan).
"Antara lain perlunya segera akta ini dikaji semula untuk membolehkan Ketua Pesuruhjaya SPRM dipilih oleh lembaga penasihat. Ketika ini jawatan nombor satu agensi itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat oleh perdana menteri.
"Jadi, kita mahu usaha reformasi ini segera dibuat supaya agensi ini tidak terus dilabel membuat pendakwaan terpilih sekiranya ada ahli politik tertentu didakwa nanti.
"Kita mahu SPRM bebas dan dengan cara itu kita tidak dengar lagi agensi ini dituduh salah guna kuasa dan akhirnya ia memberi kesan negatif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media KRPPM - (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa Jumaat ini.
Pelantikan semula Azam adalah untuk tempoh selama setahun dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut Gomez, tindakan Anwar menyambung kembali khidmat Azam untuk tempoh setahun lagi juga turut mencetuskan pelbagai reaksi memandangkan kontroversi membabitkan orang nombor satu SPRM itu masih belum terjawab.
Sebelum ini, Azam didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.
Bagaimanapun, ia akhirnya terjawab apabila Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang memaklumkan bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.