Larangan azan: Polis sudah panggil JMB, pengurusan surau kondominium

Iklan
Tangkap layar video yang tular di media sosial ketika sesi dialog antara JMB sebuah kondominium di Tanjung Bungah dengan penduduk. Gambar kecil: Khaw Kok Chin

GEORGETOWN - Polis sudah memanggil badan pengurusan bersama (JMB) sebuah kondominium di Tanjung Tokong dan pengurusan surau kondominium tersebut untuk diambil keterangan berhubung larangan azan di surau berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, polis cuba menggunakan cara diplomatik untuk menyelesaikan isu tersebut berikutan ia berhubungkait dengan isu agama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis difahamkan Kerajaan Pulau Pinang juga mengadakan mesyuarat berhubung isu tersebut pada pagi Selasa.

"Kita cuba selesaikan isu ini secara harmoni namun isu ini masih dalam tindakan kita. Kita juga cuba menggunakan cara yang lebih diplomatik kerana isu ini adalah isu agama, isu sensitif.

Iklan

"Kedua-dua pihak sudah dipanggil untuk mencari jalan penyelesaian bersama dasar kerajaan negeri. Isu ini sensitif jadi kita kena berhati-hati," katanya ketika ditemui selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Pulau Pinang pada Selasa.

Kata beliau, kes ini tiada istilah selesai atau tidak sebaliknya masih dalam perhatian banyak pihak termasuk polis dan kerajaan negeri.

Iklan

"Semua pihak sedang mencari cara yang terbaik untuk selesaikan isu ini. Setakat ini, tiada isu perkauman, semuanya baik-baik sahaja.

"Semua orang boleh hidup dalam aman damai, harmoni, itu yang lebih mustahak," katanya.

Sebelum ini, tular satu klip video di media sosial menunjukkan satu sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa di kediaman tersebut.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila pihak JMB mengutarakan isu pembesar suara di surau kondominium berkenaan.

Difahamkan, kondominium tersebut mempunyai tiga blok dengan setiap satu berketinggian 48 tingkat dan majoriti penduduk di situ adalah beragama Islam.

Surau tersebut dikatakan terletak kira-kira 200 meter dari blok pertama.

Difahamkan juga, terdapat empat buah pembesar suara di surau kondominium berkenaan iaitu dua bersaiz kecil terletak di dalam surau manakala dua lagi yang bersaiz besar terletak di luar surau.

Pihak JMB kondominium berkenaan dipercayai melarang pihak surau berkenaan menggunakan dua pembesar suara bersaiz besar di luar surau untuk kegunaan azan sebaliknya hanya menggunakan pembesar suara bersaiz kecil di dalam surau sahaja.