RUU Anti Lompat Parti tiada dalam agenda sidang DUN Sabah

Iklan
Dewan Undangan Negeri Sabah.

KOTA KINABALU - Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti setakat ini tidak tersenarai dalam agenda Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadual berlangsung pada 22 hingga 25 Mei ini.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata, pihaknya setakat ini masih belum dimaklumkan oleh kerajaan negeri sama ada RUU itu akan dibentangkan atau tidak pada sidang kali ini.

Iklan
Iklan

"Setakat ini kami belum dimaklumkan. Namun, jika kerajaan bersedia untuk membentangkannya, kami akan lakukan. Manalah tahu mungkin esok (kerajaan negeri) putuskan kerana mereka akan adakan mesyuarat Kabinet,” katanya dalam sidang media sempena Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Sabah Ke-16, di sini pada Selasa.

Justeru, katanya, satu sidang DUN Khas kemungkinan diadakan sekiranya RUU itu tidak sempat dibentang dan dibahaskan pada sidang kali ini.

Iklan

Sementara itu, Kadzim berkata, pihaknya ada menerima RUU Persendirian mengenai Anti Lompat Parti untuk dibentangkan dan telah menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk diteliti.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dijadual merasmikan persidangan itu Isnin ini yang bakal menyaksikan pembentangan tiga RUU.

Iklan

April lepas, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apd berkata, parti itu akan memfailkan RUU Persendirian mengenai Anti Lompat Parti pada sidang DUN akan datang.

Mohd Shafie dilapor berkata langkah itu diperlukan dan dibenarkan dalam persidangan negeri serta undang-undang negeri membenarkan pembentangan RUU seiring dengan kerajaan Persekutuan untuk mengelakkan ketidakstabilan. - Bernama