SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan akan menangani segera isu berhubung rumah pangsa kos rendah yang dipenuhi sampah sarap di Johor.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya telah menerima gambar sampah daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan tindakan akan diambil dalam tempoh dua hari ini.
Iklan
Iklan
"Syarikat terbabit akan berikan maklum balas dalam masa terdekat dan kerjasama semua agensi bagi menangani isu berbangkit," katanya ketika sidang media selepas majlis di kementerian.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan perasaan kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri ini.
Baginda bertitah, kebanyakan flat-flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.