BUTTERWORTH - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kerajaan PH mampu meraih sokongan rakyat walaupun berdepan dengan desakan untuk menunaikan janji dalam manifesto sejak mengambil alih pentadbiran negara selepas memenangi PRU14 lalu.
Menurutnya, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memerlukan masa untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang ditinggalkan kerajaan terdahulu dan ia tidak dapat diselesaikan dalam masa yang sangat singkat.
"Jika kita dapat menunjukkan pencapaian yang baik maka, sokongan (rakyat) itu akan datang kepada kita dan saya yakin kerajaan PH mampu menyelesaikan manifesto (pada PRU lalu) dalam masa setahun dua ini," katanya selepas menghadiri program Sembang Santai Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, perkara paling penting untuk diberi penekanan ialah menyelesaikan kemelut ekonomi menjadi keluhan rakyat seperti kos hidup yang tinggi.
"Sekarang ini, kita hendak fokus kepada kedudukan ekonomi dan kadar pengeluaran. Ada beberapa kawasan yang kita berjaya turunkan harga, tapi saya percaya dengan desakan rakyat.
"Jika ekonomi dapat diberi perhatian, maka rakyat akan mendapat faedahnya. Itu yang utama," katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, kerjasama UMNO dan PAS mampu memberi saingan kepada PH, namun bergantung kepada prestasi dan kapasiti pencapaian wakil rakyat PH.
"Memang saya akui kerjasama itu mampu membentuk gabungan tapi saya tidak nafikan ia akan memberi saingan kepada PH bergantung kepada prestasi dan kapasiti mereka sendiri," katanya. - Bernama