SEREMBAN - Tiada larangan penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid untuk azan dan iqamah di Negeri Sembilan setakat ini.
Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Amran Awaludin berkata, pihaknya juga tidak mengeluarkan fatwa yang melarang penggunaan alat itu untuk tujuan tersebut.
"Cuma ia tertakluk kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEINS) berkenaan garis panduan pengurusan masjid di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian pada Selasa selepas diminta mengulas mengenai sebuah klip video yang memaparkan satu sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong di Pulau Pinang dengan penduduk berhubung isu semasa di kediaman tersebut.
Dalam klip video berkenaan, penduduk beragama Islam tidak berpuas hati apabila pihak JMB kondominium tersebut melarang penggunaan pembesar suara di surau yang beroperasi dengan kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) itu.
Bagaimanapun, isu berkenaan telah diselesaikan setelah pegawai agama daerah Timur Laut berbincang dengan pihak JMB kondominium bersama pihak pengurusan surau terbabit.
Dalam pada itu, Amran turut menasihatkan supaya jawatankuasa masjid dan surau mengambil kira keadaan masyarakat setempat apabila menggunakan pembesar suara selain azan dan iqamah di luar surau atau masjid.
"Ia demi menjaga keharmonian hidup bermasyarakat yang berbilang kaum di negara ini termasuklah juga menjaga kemaslahatan anak-anak kecil,orang tua dan sakit serta pelajar-pelajar yang sedang mengulangkaji pelajaran," katanya.