Aiskrim Pops Malaya tambat hati pengguna China, Hong Kong

Iklan
Dari kiri: Rose Yasmin, Aminuddin dan pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri semasa sesi Flag Off produk berkenaan di kilang Doluvo di Puncak Alam, Kuala Selangor pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Syarikat Doluvo Sdn Bhd akan mengeskport sebanyak 3,100 karton produk Pops Malaya Ice Bars mulai 18 Mei ini ke Hong Kong dan China.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rose Yasmin Abd Karim, eksport dengan jangkaan nilai RM5 juta setahun itu adalah bagi menyambut baik usaha Lembaga Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menembusi pasaran global di republik berkenaan.

Iklan
Iklan

"Hantaran sulung produk Pops Malaya Ice Bars ke pasaran Hong Kong dan China akan mula belayar pada 18 Mei 2023 dan dijangka tiba ke pelabuhan Nansha New Port, Guangzhou, China pada 24 Mei 2023.

"Produk itu terdiri daripada lima perisa iaitu Lychee Peace, Mango, Passion Fruit Pineapple, Strawberry dan Grape," kata beliau semasa Majlis Flag Off pengeksportan produk berkenaan di sini pada Selasa.

Iklan

Ujar Rose Yasmin, setibanya di sana, produk tersebut akan dipasarkan secara dalam talian menerusi platform terkemuka di republik berkenaan iaitu TMall dan Doyuin.

Jelas beliau, produk tempatan juga telah menembusi 14 buah negara antaranya Jerman, Australia, Amerika Syarikat, Bahrin, Kuwait, Korea Selatan dan lain-lain lagi.

Iklan

Katanya, usaha berkenaan secara tidak langsung membuktikan aiskrim tradisional Malaysia yang diinovasi oleh pihak syarikat mampu menawan hati pengguna global dan menjadi pencuci mulut pilihan mereka.

Sementara itu, Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata, FAMA sentiasa berusaha membantu usahawan industri kecil sederhana (IKS) meneroka pemasaran perniagaan lebih luas.

Justeru, beliau menggalakkan usahawan di luar sana yang berhasrat untuk menceburi bidang pengeksportan agar mendapatkan khidmat nasihat FAMA seterusnya menyertai program-program pembangunan eksport yang dianjurkan.

"Suka juga saya maklumkan bahawa, FAMA akan menganjurkan sesi saringan produk untuk pasaran Hong Kong dan Kemboja pada 30 hingga 31 Mei 2023 bertempat di Ibu Pejabat FAMA, Selayang.

"Oleh itu, semua usahawan agromakanan dijemput untuk hadir bagi bertemu dengan ejen pemasar kami dan berbincang berkaitan potensi pemasaran produk masing-masing ke Hong Kong dan Kemboja," katanya.