Analisis pencapaian kontinjen Sukan SEA pada Jumaat

Iklan
Hannah - Foto Bernama

ANALISIS pencapaian kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja 2023 hanya akan dibuat setelah kesemua mereka kembali sepenuhnya ke tanah air pada Jumaat ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Kontinjen Negara (CDM) Sukan SEA, Datuk Mohd Nasir Ali serta timbalannya, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee, bagi memperincikan prestasi kontinjen negara di temasya dwitahunan itu.

Iklan
Iklan

Katanya, biarpun sasaran 40 pingat emas ditetapkan sebelum ini hampir mustahil untuk dicapai, pihaknya mahu kem negara membuat sehabis baik dan melakukan pecutan terakhir pingat emas.

"Kita ada sasarkan beberapa acara untuk meraih emas terutamanya hoki dan saya berharap mereka dapat memenangi pingat emas tersebut.

Iklan

"Kita hanya minta atlet buat yang terbaik di temasya ini dan saya percaya kalau ikut hari-hari sebelum ini ada di antara mereka yang tidak disasarkan pingat tapi mereka berjaya membuat kejutan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan forum kepimpinan 'An International Speakers and Leadership Convention Like Never Before', di Bangsar, Kuala Lumpur pada Selasa.

Iklan

Setakat petang Selasa, kontinjen negara mengumpul 169 pingat merangkumi 33 emas, 43 perak dan 94 gangsa.

Sukan SEA Phnom Penh akan melabuhkan tirai secara rasmi pada malam Rabu. - Bernama