PADANG RENGAS - Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang dekat sini diselubungi suasana pilu apabila lima van jenazah memasuki kawasan pekarangan membawa lima beranak yang maut dalam nahas Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Kampar pada Selasa.
Deretan van jenazah diiringi kenderaan polis tiba di pintu pagar utama tanah perkuburan pada jam 5.55 petang.
Semua jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Al Hadhari yang turut dihadiri kira-kira 500 orang sebagai penghormatan terakhir.
Jenazah selesai dikebumikan jam 6.50 petang dalam satu liang lahad atas permintaan keluarga setelah selesai menjalani bedah siasat dan pemeriksaan saringan Covid-19 di Hospital Kampar dan Tapah.
Azriyani Abdul Latif, 45, dikebumikan bersama empat anaknya iaitu Muhammad Azib Nasaruddin, 23, Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8, Muhammad Fawwaz Nasarudin, 7, dan Ahmad Uwais Qorni Nasaruddin, 5.
Dalam kejadian itu, Azriyani dan Muhammad Azib, Siti Nur Aminah dan Ahmad Uwais disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Sementara Muhammad Fawwaz menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Tapah.
Suami Allahyarham, Nasaruddin Abu Bakar, 53, bersama empat lagi anak, Ahmad Hazim Zuhdi, 21, Muhammad Ilham, 20, Ahmad Danish Basyir, 16, dan Siti Nur Khadijah, 14, mengiringi pengebumian jenazah sehingga selesai.
Dalam kejadian sekitar jam 2.27 pagi, lima beranak itu dalam perjalanan ke Tapah menaiki kereta jenis Proton Saga dipandu Muhammad Azib.
Sampai di lokasi kejadian, dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.