KUALA LUMPUR - Laporan siasatan mengenai keretakan pada Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai dan keadaan tanah di sekitarnya dijangka siap pada 2 Mei dan dibentangkan kepada kerajaan negeri Selangor.
Ahli Parlimen Gombak merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, siasatan bagi mengetahui punca kejadian masih dijalankan.
"Jika hasil siasatan mendapati bangunan itu selamat untuk didiami, penghuni dijangka dibenarkan kembali ke unit masing-masing sebelum 1 Ramadan namun pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di blok yang terjejas itu.
Sebarang tindakan membaik pulih struktur bangunan akan dibuat berdasarkan kepada laporan berkenaan, katanya.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor Haniza Talha. Mohamed Azmin berkata, kos membaiki akan diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
"Jika bangunan itu didapati tidak selamat diduduki, kami akan bincang lebih lanjut dengan kerajaan negeri," katanya.
Beliau turut berkata siasatan awal mendapati tiada pergerakan tanah dikesan di sekitar kawasan pangsapuri itu sejak tiga hari lalu.
Siasatan mengenai keretakan itu dilakukan syarikat Perunding ZNA dengan kerjasama Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram).
Mohamed Azmin berkata bantuan RM500 akan disalurkan kepada setiap 37 keluarga yang terjejas akibat keretakan di bangunan lima tingkat itu.
Sementara itu, Zuraida berkata pihaknya telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan seluruh negara untuk memantau pangsapuri yang berusia lebih 30 tahun.
"Kami akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk membangunkan semula pangsapuri lama seperti yang tertakluk dalam Dasar Perumahan Negara,” katanya.
Katanya, bancian penduduk akan dibuat di semua 12 blok pangsapuri Taman Keramat Permai bagi mengenal pasti setiap pemilik atau penyewa unit untuk tujuan pembangunan semula itu.
Jumaat lalu, lebih 200 penghuni Blok F berkenaan diarahkan berpindah susulan keretakan di struktur bangunan itu yang dilaporkan semakin teruk. - Bernama